Chef Riz buka restoran Flavours, Jalan Telawi 3, Bangsar

Saturday, June 23, 2012

Chef Riz melancarkan restoran terbarunya, Flavours, di Jalan Telawi 3, Bangsar, baru-baru ini. Restoran yang berkonsepkan ‘Fun Dining’ ini merupakan restoran kelima beliau selepas Marcos, Meatworks, Titanium Bistro dan On The Table.

Menariknya, restoran ini turut menampilkan konsep ‘Theater Kitchen’ di mana pelanggan yang hadir boleh melihat sendiri penyediaan makanan di dapur chef. Selain itu, konsep ‘Chef Table’ juga turut diperkenalkan bagi pelanggan menempah menu istimewa yang menjadi pilihan mereka.

Dengan kapasiti 70 orang, ‘Flavours’ dibuka pada setiap hari Selasa hingga Ahad, jam 11.00 pagi hingga 11.00 malam. ‘Flavours’ terletak di alamat 51 G, Jalan Telawi 3, Bangsar Baru berhadapan dengan servis jockey Bangsar Village.

“Saya begitu teruja dengan pembukaan restoran baru ini. Saya mencabar diri saya untuk menghasilkan sesuatu dengan lebih cepat di mana restoran ini hanya mengambil masa kira-kira dua bulan saja untuk siap.

“Restoran ini saya kongsi dengan ibu saudara saya, Nor Aniza Abdul Rahman bersama ahli keluarganya yang lain. Saya bertindak selaku Chef Korporat manakala ahli keluarga yang lain menguruskan hal pentadbiran,” ujar Chef Riz ketika ditemui selepas majlis pelancaran Flavours, baru-baru ini.

Chef Riz yang terkenal dengan penyediaan makanan berkonsepkan ‘Avant Garde Cuisine’ menampilkan lebih 45 menu masakan fusion, dengan gabungan Timur dan Barat antaranya Buttermilk Pasta, Riz’s Briyani, nasi berlauk, burger serta banyak lagi.

Ketika ditemui, Chef Riz atau nama sebenarnya Nadzri Redzuawan turut memberitahu pembukaan restoran ‘Flavours’ adalah bertujuan bagi membantu golongan anak muda yang tidak mempunyai hala tuju dalam hidup mereka.

“Saya reka bisnes ini untuk bagi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang tidak mempunyai hala tuju seperti mat rempit dan sebagainya. Saya ingin kongsi minat masak saya dengan mereka dan saya harap mereka yang kita label budak bermasalah ini akan ada jalan dalam karier dan masa depan mereka.



“Bagi saya jika kita tidak bagi peluang, siapa lagi yang akan bagi. Pada mulanya Chef Wan kata saya gila kerana berani ambil risiko memandangkan kebanyakan mereka tiada pengalaman dan latarbelakang memasak langsung.

“Ini satu cabaran buat saya untuk menjadikan mereka dari ‘zero to hero’. Saya bertindak sebagai mentor mereka dan latih mereka selama sebulan. Saya disiplinkan mereka dengan cara yang menarik. Saya puas sangat dapat berkhidmat untuk negara dan seronok melalui perjalanan ini,” ujar Chef Riz yang berjaya melatih seramai 7 orang anak muda.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI