Hilangkan rasa gugup ketika berpidato

Monday, August 30, 2010

Seni pengucapan awam sama ada pidato, debat, perbahasan, pembentangan, forum atau syarahan merupakan satu seni unik yang bukan semua orang berbakat menguasainya.

Pengucapan awam dari segi definisi bermaksud pelahiran bahasa dengan penuh makna melalui komunikasi lisan (suara dan perkataan) dan bukan lisan (anggota tubuh perucap).

Biasanya, pengucapan awam ini sering digunakan pelajar ketika menyertai pertandingan pidato, debat, perbahasan malahan juga ketika dikehendaki membentangkan kertas kerja.

Pengucapan awam ini walaupun sukar dikuasai namun terdapat teknik tertentu bagi melatih dan memberi keyakinan kepada mereka yang ingin membabitkan diri dalam pertandingan pidato, debat atau syarahan.

Apa yang penting setiap mereka yang ingin menguasai seni pengucapan awam yang baik perlu melakukan latihan yang konsisten selain memberi komitmen yang tinggi untuk membolehkan mereka menghilangkan rasa gugup dan tidak yakin.

Penolong Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengembangan Pengucapan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Encik Ami Rozaidi Chik Ros, berkata persediaan yang secukupnya penting bagi menghilangkan rasa gugup.

"Latihan yang kerap seperti berlatih di hadapan cermin juga dapat membantu menghilangkan rasa gugup selain membolehkan kita mengesan sebarang kesalahan dan mengenal pasti bahasa tubuh yang sesuai.

"Masalah yang sering dialami pembahas ialah gemuruh kerana terpaksa berdepan dengan khalayak namun ini dapat diatasi sekiranya persediaan rapi dibuat," katanya.

Ami berkata, pemidato yang baik akan dapat menyesuaikan ucapan dan teknik penyampaiannya bergantung kepada siapa yang akan mendengar ucapan terbabit bagi memastikan pendengar dapat menerima mesej dengan jelas.

Tip menghilangkan rasa gugup

* Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah membuat persediaan rapi sebelum berucap. Sebaik mana pun berucap, anda perlu mengetahui dengan tepat apakah yang diucapkan. Ini penting supaya ucapan anda mencapai objektif dan tidak tersasar atau menyimpang.

* Anda juga perlu datang awal sebelum sesi ucapan anda, sekurangkurangnya 15 minit sebelum majlis bermula.

* Tarik nafas sekiranya rasa gugup kerana ia mampu membantu anda menenangkan diri.

* Pastikan anda sudah menguasai tajuk perbahasan dan sudah menghafal beberapa isi penting bagi mengelakkan anda terlupa.

* Perlu ada mukadimah yang sesuai yang tidak terlalu panjang dan terlalu pendek. Bergantung kepada masa yang diberikan. Mukadimah 15 peratus, isi 70 peratus dan penutup 15 peratus. Ini akan memudahkan pendengar untuk mengikuti perjalanan ucapan anda dari awal sehingga penutup

* Intonasi suara perlu diberi perhatian terutama untuk debat dan syarahan bagi menekankan isi penting. Jika anda ingin penonton memberi perhatian kepada isi yang disampaikan, perlu ada penekanan suara iaitu tinggi dan rendah.

* Kenal pasti sasaran khalayak kita dan apakah keperluan mereka mendengar isi ucapan kita. Buat rujukan atau kaji selidik terhadap kelompok penonton atau pendengar yang akan mendengar ucapan kita.

* Buat latihan dengan menggunakan rangka isi dan cuba praktikkan di hadapan cermin. Pengucap yang baik tidak akan melihat dan membaca petikan teks. Walau bagaimanapun, jika anda masih baru, pastikan anda ada kad kecil sebagai catatan rangka isi untuk berucap.

* Fokus ucapan anda bukan pada kelemahan anda. Contohnya sekiranya anda mempunyai suara yang kuat yang boleh mengawal pendengar, gunakan sebagai kelebihan dalam ucapan anda.

* Ada juga pemidato yang menggunakan ciri-ciri fizikal yang ada pada mereka untuk menarik perhatian khalayak.

* Berucaplah dengan fikiran dan emosi yang positif.

* Pastikan sebelum anda berucap emosi anda berada dalam keadaan positif.

* Pandangan pertama (first impression) penting untuk anda memulakan ucapan yang baik.

* Pastikan anda memakai pakaian yang sesuai dengan keadaan majlis dan mulakan dengan senyuman.

* Nyatakan objektif yang jelas apa isi ucapan anda kemudian barulah dikembangkan dengan isi serta bahagian penutup.

* Apabila ada rasa debaran maka jangan berlawan dengan perasaan anda.

* Pandangan mata (eye-contact) juga penting dalam ucapan bagi memastikan pendengar berasakan anda bersama mereka sepanjang ucapan anda.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI