Cerita seram dan mistik sudah sebati dalam diri masyarakat, tidak kira apa bangsa pun setiap kelompok etnik dan kaum tetap mempunyai kisah misteri dan unik yang tersendiri.
Jika masyarakat Melayu terkenal dengan hantu raya, pontianak, pocong dan toyol, masyarakat Cina pula sering bercerita mengenai keanehan pontianak tempatan yang suka melompat. Kepercayaan itu juga menular pada bangsa dan sejarah Barat yang acap membincangkan isu mitos dan misteri di sebalik kewujudan makhluk alam lain seperti drakula, exorcist, serigala jadian dan zombi.
Bagaikan satu obsesi atau trend terkini, tidak dinafikan ada segolongan besar penonton tempatan yang mempunyai minat mendalam bukan saja menyaksikan filem seram terbitan Asia seperti Ju-on, The Eye, Nang Nak, Tale of Two Sisters, Shutter, The Host, Sundel Bolong, Sumpah Pocong mahupun Kuntilanak.
Bahkan mereka juga menjadi pengikut setia drama seram tempatan yang pernah disiarkan TV3 sebelum ini seperti Susuk, Kekasihku Seru, Puaka Niyang Rapik, Keliwon, Tower 13, Penunggu Gunung Raya dan Roh Kembali.
Khusus kepada penonton yang berjiwa kental dan berani, jangan lepaskan peluang mengikuti kisah gadis kolej, Aria, yang menanggung keperitan kerana diganggu makhluk halus sejak berusia 14 tahun menerusi drama bersiri terbaru slot Seram, Durja Ningsun.
Sejak hari itu, Aria tidak berupaya menjalani kehidupan normal seperti remaja lain kerana sering dirasuk roh jahat dan bermimpi pelbagai kejadian misteri dunia Ningsun. Walaupun kisah hantu dan kejadian histeria yang berlaku di sekolah asrama penuh bukan sesuatu yang baru didengar tetapi cetusan teknik imej janaan komputer (CGI) berjaya menghasilkan visual dan gambaran meyakinkan. Drama ini sarat adegan cemas dan suasana seram yang menemani penonton sepanjang disiarkan selama 13 episod, setiap Khamis jam 9.30 malam. Diterbitkan Excellent Pictures menerusi arahan bersama Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Ahmad Azizi, Durja Ningsun membariskan pelakon berbakat seperti Erin Malik, Siti Sharizah Saifuddin (Eja) Eizlan Yusof, Aeril Zafrel, Abu Bakar Juah, Aida Aris, Faralyna Idris dan ramai lagi.
Yakin selepas berjaya dipulihkan oleh datuknya, Aria nekad mengambil kursus kejururawatan di sebuah kolej lalu berkenalan dengan Myra, Nurlida dan Suhana. Aria bagaimanapun, tidak disukai seniornya, Yasmin. Dia yang memulakan fasa baru dalam kehidupannya berasakan seperti ada sesuatu yang memerhati dan mengekorinya.
Siapa sangka gurauan dan cabaran temannya ternyata mengundang padah apabila roh Ningsun yang diseru muncul dan merasuk Aria.
Hanya ada satu cara bagi Aria untuk melepaskan diri daripada belenggu dan cengkaman maut Ningsun iaitu membongkar rahsia dan misteri di sebalik kematian tragis Ningsun.
Namun, masihkah ada harapan bagi Aria mendapatkan kebenaran dan mententeramkan roh Ningsun yang sudah mula melakukan pembunuhan?
Jika legenda masyarakat Cina begitu terkenal dengan kisah Green Snake & White Snake, manakala penduduk India pula menganggap ular sebagai binatang suci, kini slot Lagenda TV3 memperkenalkan drama baru, Ular Emas. Bersiaran sejak 16 Ogos lalu, setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang, drama itu dibintangi Yatt Hamzah, Erry Putra, Lisdawati dan Azza Elite.
Ular Emas mengisahkan suka duka seorang isteri yang begitu mentaati agama dan menghormati suaminya akhirnya menerima nasib malang apabila dianiaya insan dicintai dan sahabat dipercayai. Kisah bermula apabila Raudhah yang berkahwin dengan Fauzi terpaksa menempuh kehidupan sendirian apabila suaminya yang gila judi dan pemalas menipu dan meninggalkannya sematamata untuk berkahwin dengan perempuan lain.
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, bukan saja terpaksa bekerja keras demi mencari rezeki untuk diri dan anak yang bakal lahir, Raudhah hanya mampu bersabar mendengar tohmahan orang kampung yang meragui status anak dikandungnya. Tuduhan pedih itu turut mengaitkan dia terbabit dengan ajaran sesat dan menggunakan ilmu hitam untuk melariskan perniagaannya.
Tidak cukup tekanan dan seksaan emosi ditanggung, suami yang selama ini menjadi pelindung pula sanggup menggunakan taktik kotor mengirimkan ular berbisa sebagai hadiah dengan tujuan untuk membunuhnya. Ular yang menjelma bertukar menjadi patung ular emas yang bertindak sebagai tangkal pembawa tuah bagi Raudhah.
Jangan lupa untuk mengikuti bagaimana kuasa sakti patung ular emas mampu merubah kehidupan Raudhah yang sering dirundung malang dan kesedihan. Adakah Raudhah akhirnya akan menyedari bahawa bencana dan masalah yang dihadapi semuanya berpunca daripada keluarga dan sahabatnya sendiri? Semuanya bakal terjawab menerusi drama bersiri Ular Emas, hanya di TV3!
Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.
Layari : Zonfiniti
0 Komen:
Post a Comment