Gagal tunai puasa kerana sakit mesti dibayar dengan fidyah

Monday, August 16, 2010

Allah SWT berfirman dalam ayat 184 iaitu: “Dan wajib bagi orang yang berasa berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) untuk membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin.”

Menurut Ibnu Abbas, yang dimaksudkan ayat ini adalah orang tua lanjut usia, baik lelaki mahu pun wanita yang tidak mampu menjalankan ibadat puasa, maka mereka wajib membayar fidyah dengan memberi makan seorang miskin setiap hari ditinggalkannya.

Mereka juga terkecuali dari kewajipan berpuasa sebagai mana ayat 185 surah al-Baqarah: “Sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah berpuasa.”

Kemudahan ini diberikan kerana ia tidak akan mengalami lagi keadaan yang memungkinkannya untuk qada puasa yang ditinggalkannya itu. Tetapi wajib baginya membayar fidyah untuk setiap hari ditinggalkan.
Imam al-Bukhari mengatakan: “Sesungguhnya ketika Anas bin Malik sudah berusia lanjut, satu atau dua tahun ia memberi makan kepada fakir miskin dengan roti dan daging sebagai fidyah untuk setiap hari ditinggalkannya dan ia pun berbuka.” Ada juga meriwayatkan ketika Anas sudah lemah (disebabkan usia lanjut) dan tidak mampu berpuasa, maka ia membuat mangkuk tsarid (roti berkuah) dan mengundang 30 orang miskin lalu memberi mereka makan.

Termasuk juga dalam ayat ini wanita hamil dan menyusu apabila membimbangi dirinya atau anaknya. Mereka ini hanya perlu membayar fidyah tanpa perlu qada puasa.

Selain itu, orang musafir juga dibolehkan berbuka sekiranya cukup syarat iaitu pertama, perjalanan itu mestilah jauh sehingga membolehkannya qasar solat.Kedua, tidak berniat menetap di tempat dikunjunginya dan ketiga perjalanannya tidak bertujuan maksiat.

Bagi orang sakit yang bimbang penyakitnya akan bertambah dengan berpuasa, disunatkan berbuka dan makruh meneruskan puasa. Ditakuti puasa menyebabkan kematiannya. Jika seseorang itu terlalu uzur, bertambah kuatlah alasannya tidak berpuasa.

Tetapi seseorang yang sihat tidak dibenarkan berbuka puasa semata-mata kerana takutkan letih dan menghadapi kesusahan semasa berpuasa. Dia hanya keletihan disebabkan berpuasa, tidak lebih dari itu.

Justeru, disunatkan untuk kita bersahur sebagai mana hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Makan sahurlah kamu, kerana makan sahur itu berkat.”

Menurut Sayid Sabiq dalam Fikhus Sunnah, berkatnya sahur kerana mendatangkan kekuatan ketika berpuasa. Sekurang-kurangnya makanlah kurma tiga biji atau lebih dan minum air masak, Insya-Allah ia akan memberi kebaikan tenaga kepada orang berpuasa.

Sebenarnya berpuasa, kita memerlukan latihan iaitu sebelum masuknya Ramadan, hendaklah kita latih diri kita untuk rajin berpuasa sunat. Biasanya, ibu bapa akan mengajar dan mendidik anaknya berpuasa ketika masih kanakkanak sebagai mana juga solat.

Apabila sudah membesar, puasa tidaklah menjadi beban baginya. Kita juga hendaklah sedar dan yakin bahawa ganjaran dijanjikan Allah SWT amatlah besar. Amat rugilah nanti di akhirat sekiranya kita tidak dapat memperolehnya.

Wallahua’lam.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI