Lydia Ibtisam bahagia selepas berkahwin

Saturday, August 28, 2010

jakbergelar isteri kepada ahli perniagaan, pelakon Lydia Ibtisam, 29, mengakui terpaksa bijak membahagikan masa antara keluarga dan karier seni supaya kedua-duanya bergerak seiringan.

Kata pengacara dan pelakon yang popular menerusi drama bersiri Impian Illyana ini, dia bertuah kerana suaminya, Zam Merican, 35, cukup memahami sekali gus merestui minatnya dalam bidang seni.

"Sebelum ini saya sering ditawarkan watak heroin dalam drama dan agak sibuk di lokasi, tetapi selepas bergelar isteri, saya akui agenda seni saya lebih teratur dan saya juga ada masa bersama keluarga.

"Selepas berkahwin, tawaran berlakon masih mencurah, tapi saya terpaksa tolak kerana terikat dengan jadual sedia ada," katanya.

Kata anak kelahiran Pulau Pinang ini, rumah tangga yang dibina pada 2 Mei 2008 bahagia walaupun belum diserikan dengan kehadiran cahaya mata.

"Saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Kehidupan saya sama saja seperti dulu cuma sekarang saya sudah berkahwin. Soal anak pula, saya dan suami lebih suka menyerahkan perkara itu kepada Tuhan.

"Saya percaya semuanya bergantung kepada rezeki. Mungkin sebab saya belum bersedia lagi, sebab itu kami belum dapat anak. Suami pula memang sudah bersedia untuk bergelar bapa," katanya.

Mengenai dirinya yang sukar dihubungi media, Lydia menafikannya.

Katanya, dia bukan sengaja tidak menjawab telefon sebaliknya berada di studio atau terbabit dengan penggambaran program atau drama.

"Selalunya apabila ada panggilan yang tidak berjawab, saya akan terus menghubungi wartawan yang menelefon itu apabila kerja saya sudah selesai.

"Terus terang, saya memang tidak kenal ramai media sebab itu saya tidak jemput ramai wartawan pada majlis perkahwinan saya dulu," katanya.

Kata Lydia, dia baru saja selesai menjayakan rakaman suara latar dalam bahasa Inggeris untuk program kanak-kanak, Play House Disney Channel (PHDC) di Barney Kid Club, Taman Tun Dr Ismail di ibu kota.

Lydia juga menjadi hos untuk segmen Kraft My Day In Malaysia yang disiarkan PHDC pada 15 Ogos lalu.

"Sebenarnya, saya baru sebulan buat program ini dan ia pengalaman yang sungguh menyeronokkan. Saya juga banyak terbabit dengan projek drama untuk RTM.

"Sebelum ini, saya banyak buat drama untuk TV3 dan apa salahnya saya buat untuk RTM pula. Malah, saya juga ke Brunei Darussalam menjalani penggambaran sitkom untuk RTM.

"Selain itu, saya juga terbabit dalam program Chopp! untuk TV9. Program ini menemui penonton setiap Isnin," katanya.

Tidak ketinggalan, Lydia juga terbabit dengan rakaman program raya, Cerita Ceritera dengan Tam Suhaimi untuk TV3. Sebelum itu, dia juga terbabit dengan penggambaran filem Hanyut.

Sesibuk manapun berlakon, Lydia tetap memastikan dia ada masa untuk berbuka dengan suaminya di rumah.

"Maklumlah, kami sama-sama sibuk dengan aktiviti masing-masing. Apabila suami ada majlis yang perlu dihadiri, saya akan berbuka sendirian di rumah. Saya tidak berasa sunyi kerana emak selalu datang menemani saya.

"Juadah berbuka kegemaran saya ialah ikan terubuk bakar yang saya buat sendiri di rumah kerana saya tidak suka beli makanan di luar. Agar-agar untuk pencuci mulut yang juga dibuat sendiri.

"Suami pula suka makan nasi Beriani ketika berbuka. Saya pula tidak pandai buat nasi beriani seperti yang disediakan tok wannya," katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri pula, Lydia dan suami akan meraikannya di kampung halamannya di Pulau Pinang.

"Ia juga tahun kedua saya beraya sebagai isteri. Kami tiada masalah sistem giliran seperti pasangan suami isteri lain kerana kampung suami juga berhampiran dengan rumah keluarga saya di Pulau Pinang.

"Saya juga hanya mendapat cuti raya tidak sampai seminggu. Selepas bersama keluarga di kampung, saya akan beraya dengan kakak pula yang menetap di Singapura.

"Dari segi juadah pagi raya pula, menu wajib kami sekeluarga ialah ketupat tiga segi dengan serunding, rendang tok yang emak buat dan sambal goreng Singapura," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI