Maklumat terkini KWSP di Facebook dan Twitter

Monday, August 23, 2010

Orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan mendaftar di laman sosial Facebook dan Twitter.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Kewangan dan Khidmat Pelanggan KWSP, Hizwani Hassan berkata akaun Facebook didaftarkan dengan nama 'Kumpulan Wang Simpanan Pekerja' dan Twitter KWSP di KWSPBuzz. Katanya, penggunaan media sosial seperti itu akan membolehkan berita terkini KWSP disebarkan lebih cepat melalui gambar dan video.

"Lebih penting lagi ia membolehkan KWSP mendekati pencarumnya dengan lebih meluas terutamanya generasi-Y dan mereka yang bergantung kepada gajet mudah alih bagi mendapatkan berita-berita terkini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya dalam tempoh beberapa bulan Facebook KWSP diperkenalkan, lebih 6,600 orang sudah mendaftar.

"Faedah utama yang diperoleh dengan mendaftar di Facebook dan Twitter KWSP terbukti pada awal tahun ini apabila mereka memperoleh maklumat mengenai pengumuman kadar dividen KWSP 2009 pada masa sama editor dan wartawan akhbar utama menerimanya melalui siaran akhbar KWSP," kata beliau.

Bagaimanapun, Hizwani berkata kedua-dua saluran itu diwujudkan hanya sebagai penyampai maklumat terkini selain mendekati 12.3 juta pencarumnya.

"Pencarum diingatkan supaya menggunakan saluran sedia ada seperti kaunter perkhidmatan, pusat panggilan KSWP di talian 03-8922 6000 atau pertanyaan online melalui laman web myEPF sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai KWSP," katanya.-Bernama


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI