Tukar nama elak peminat keliru

Sunday, August 29, 2010

Sebut saja nama D Almashoor dan Dina Nadzir, pantas orang mengingati mereka sebagai penyampai di stesen radio popular Era FM.

Sudahlah kedua-duanya masih muda dan lincah, nama mereka juga seakan ada persamaan sehingga terpaksa ditukar bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan pendengar.

D atau nama sebenarnya Syarifah Nurdina Almashoor Syed Sheikh Almashoor, 27, menyertai stesen Xfresh FM sebagai tenaga belakang tabir dan X Fresh Street Surfers pada 2006 sebelum diserap ke Era. Manakala Dina yang nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, 25, mula bergelar warga kerja Era pada Januari 2009.

Mereka menggalas tanggungjawab mengendalikan program Muzik Hit Bertubi-tubi Era di mana Dina mengendalikan segmen dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari dan D pula dari 1 tengah hari hingga 4 petang. Gandingan mereka juga dikenali sebagai Double D.

Kedua-duanya gembira dipilih menjadi anggota keluarga stesen yang berada di tangga kedua popular itu.

Apatah lagi di situ juga kedua-duanya mengetahui mereka ada pertalian saudara. Malah, D dan Dina pernah digandingkan seketika selepas pemergian Din Beramboi sebelum ini.

Bercerita mengenai pengalamannya, D beritahu dia semakin serasi dengan Era FM.

Dia mengakui gembira apabila ditawarkan bekerja di XFresh selepas menamatkan pengajian di Kolej Damansara Utama, Petaling Jaya, lima tahun lalu.

"Selama dua tahun di Xfresh, peminat sudah mengenali saya dan mesra dengan panggilan Dina. Bagaimanapun saya akur apabila diminta bertukar ke Era pada November 2009. Namun, awalnya saya gerun juga kerana menganggap Era berbeza dari segi konsep dan umur pendengar. Apatah lagi di Xfresh saya bekerja pada sebelah malam.

"Satu lagi masalah di Era sudah ada Dina, jadi saya kena fikirkan nama yang sesuai hingga timbul idea menggunakan nama D Almashoor. Mulanya agak kekok dengan nama ini, tetapi lama kelamaan saya sudah boleh sesuaikan diri," katanya yang mengakui lebih senang berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sebelum ini.

Hanya beberapa minggu di stesen yang sekarang dikenali dengan slogan Kini Hanya Memainkan Muzik Hit Yang Terbaik dan bakal bersiaran di Sarawak bermula Oktober nanti, D secara tiba-tiba didatangi perasaan ingin bertudung menjadikan dia penyampai Era pertama bertudung.

"Pelbagai perasaan timbul dalam hati hingga akhirnya saya buat keputusan untuk bertudung. Sebelum itu, saya takut hendak menyatakan hasrat itu kepada Nazri Noran (Pengurus Rangkaian Era). Namun saya terkejut apabila dia kata ok dan minta saya jangan main-main serta berpegang tetap pada pendirian ini.

"Saya muncul buat kali pertama dengan imej bertudung dalam Era TV membuatkan ramai terkejut. Yang menyindir pun ada, tetapi saya tidak kisah. Bukan setakat pakaian, penampilan saya juga diubah agar lebih baik berbanding sebelumnya. Saya rasa sesuai dengan imej ini.

"Bahkan keluarga saya juga terkejut dan gembira dengan perubahan yang dibuat. Maklumlah saya dulu agak tomboi kerana dibesarkan di kalangan tiga adik beradik lelaki," katanya.

Bercerita mengenai statusnya, D kini rapat dengan seseorang sejak 20 Jun lalu dan mereka berhasrat untuk menuju gerbang perkahwinan pada 26 September ini.

"Kami diperkenalkan oleh kawan dan tak sangka terus melekat sehingga mengambil keputusan untuk berkahwin. Walaupun bukan orang seni Alhamdulillah dia menyokong kerjaya saya," katanya.

Sementara itu, Dina pula memperoleh rezeki terpijak apabila didatangi tawaran ketika berlakon filem Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) di Perlis.

Nazri menyukai personalitinya sehingga terbuka hati menawarkan peluang berkenaan.

"Selepas habis penggambaran saya berjumpa Nazri untuk sesi uji bakat. Tak sangka dia sediakan kontrak terus untuk saya dan tanpa latihan terus digandingkan dengan Nana buat carta Era. Mulanya saya memang gabra, tetapi lama kelamaan sudah jadi perkara biasa. Malah, saya diberi tugas sebagai penyampai solo untuk slot hujung minggu.

"Pada Jun 2009, barulah saya bekerja sepenuh masa dan digandingkan dengan Ray untuk segmen pada sebelah malam. Akhirnya saya beralih kepada tugas yang digalas sekarang. Saya juga kena sesuaikan personaliti saya ketika di pentas nyanyian dan sewaktu menjadi penyampai.

"Selepas bertugas di Era, baru saya tahu kenapa sesetengah lagu tidak dimainkan di radio. Ada juga kawan berharap saya selalu mainkan lagu mereka di radio, tetapi saya tidak boleh buat sesuka hati kerana penyiaran lagu ditetapkan pihak pengurusan.

"Dulu sebagai penyanyi sesetengah orang anggap saya tidak matang, tetapi sekarang mereka lebih yakin untuk berbual dengan saya merangkumi pelbagai topik. Saya juga terpaksa berkorban tidak putarkan lagu sendiri atas arahan pengurusan," katanya.

Dia turut menafikan sudah berhenti menyanyi, malah masih aktif menerima undangan persembahan. Namun dia kini lebih banyak menyanyikan lagu untuk iklan.

"Saya takkan berhenti menyanyi kerana sudah sebati dengan jiwa. Malah, ketika jelajah Era pun saya menyanyi untuk hiburkan peminat. Tawaran menyanyi lain yang sering saya terbabit ialah Jom Heboh!. Pada masa sekarang saya fikir cara mudah untuk jual lagu menerusi Internet dan peminat boleh muat turun lagu Untuk Diriku, You're With Me, Darah Muda dan Sejauh Ini.

"Saya senang bernaung di bawah label sendiri, Soulful Symphony dan ada studio sendiri di Taman Tun Dr Ismail (TTDI). Kegunaan studio ini untuk rakaman vokal dan dubbing suara untuk kartun Supa Stricker bagi Disney Channel," katanya yang sudah berlakon teater dan berhasrat mencuba bidang pengacaraan pula selepas ini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI