Jinbara jual roti jin

Saturday, August 21, 2010

Kata orang, jika sekali sudah merasa kelazatan juadah disediakan, pelanggan akan tetap mencari. Tidak hairan, bazar Ramadan kumpulan rock Jinbara menjual roti jin dan roti bom untuk berbuka puasa di AU5D, Taman Permata, Hulu Klang, laris bak goreng pisang panas setiap hari.

Tiga daripada lima anggota kumpulan popular menerusi lagu Patri dan Farhana itu berniaga di bulan mulia ini. Mereka adalah pemain bass, Akin, Cepot (gitar) dan Ahtan (dram).

Jualan harian roti jin sinonim dengan kumpulan genre rock itu. Menu yang diadaptasi dari roti john itu paling popular di kalangan penduduk serta pengunjung sekitar Wangsa Maju, Melawati dan Keramat.

Dijual pada harga RM3.50, menu dibuat menggunakan roti 12 inci bersama inti rendang ayam, sos cili dan telur.

Selain itu, mereka turut menjual minuman menyegarkan seperti air teh bunga istimewa, cendol 'kaw' dan pekasam utara.

Paling ketara, kehadiran pelanggan ke bazar Jinbara membuatkan setiap antara mereka tidak menang tangan menyediakan roti jin dan roti bom panas.

Selain bazar Ramadan AU5D, dua bazar Ramadan Jinbara lain terdapat di Lembah Klang memulakan operasi serentak bermula jam 4 petang hingga 8 malam.

Kata Akin atau Mohd Nizam Mohd Nor, 32, yang menyelia bazar Jinbara AU5D, dua bazar lain di Taman Sri Andalas, Klang dan Jalan Tunku Abdul Rahman dikendalikan Cepot dan Ahtan bersama rakan-rakan lain.

"Saya mengendalikan bazar AU5D bersama 10 pekerja. Menu di Klang tidak banyak berbeza dengan apa didapati di AU5D. char kuetiau dan seluar jeans pula dijual di Jalan Tunku Abdul Rahman.

"Cepot bersama Ahtan bertanggungjawab mengendalikan bazar Jinbara di Klang. Kami terpaksa berpecah untuk memastikan kelancaran operasi perniagaan di dua lokasi lain berjalan lancar.

"Setiap bazar ada pembantu yang mahir dengan tugasan sendiri. Ada menebar roti, menguli tepung, membungkus minuman dan membakar roti.

"Kami mewujudkan sistem kerja khas untuk melayan kerenah pelanggan yang tidak suka menunggu lama. Pada masa sama, penyediaan kualiti juadah terjamin berada pada tahap terbaik.

"Apapun, populariti roti jin tarikan utama ke sini. Kami menjual lebih 100 keping roti jin dan 1,000 roti bom sehari," katanya.

Kata Akin, dua anggota lain, vokalis, Tia dan gitaris, Anjang menjalankan urusan masing-masing di tempat lain.

"Sudah menjadi tradisi Jinbara menjalankan perniagaan yang sebati dalam diri. Kami tidak kekok kerana berpengalaman berniaga sendiri sebelum ini.

"Kami tidak membuat persembahan pada Ramadan kerana kurang sesuai. Kami kumpulan rock dan bukan nasyid. Paling penting, kami ada resipi sendiri. Cara itu mendekatkan kami kepada lebih ramai pihak.

"Saya suka melihat anak muda bekerja-keras serta berdikari memajukan diri tanpa mengharapkan simpati orang lain. Gerai Ramadan Jinbara dibuka setiap Ramadan sejak memulakan operasi 10 tahun lalu," katanya.

Selain berkecimpung dalam muzik, nama Jinbara merangkumi perniagaan seperti ternakan ayam, kolam ikan dan chalet percutian dan motivasi di Kemensah.


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.


Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI