Misteri Harimau Jadian

Wednesday, August 18, 2010

Kalau diikut orang tua-tua, mereka seboleh-bolehnya tidak mahu perkara ini dipanjangkan. Tetapi orang muda pula semangat bercerita soal asal usul nenek moyang mereka dari seberang yang katanya mempunyai pelbagai ilmu atau lebih senang mereka sebenarnya ada ‘penjaga’.

Orang muda mendengar cerita lisan ini daripada generasi lama mengenai kelebihan uci (nenek moyang perempuan) yang berhubung rapat dengan ‘harimau jadian’. Bagaimana makhluk yang tidak dapat dilihat secara zahir ini mengawasi pergerakan anak cucu mereka. Apa-apapun, ia sebenarnya bertujuan menjaga keselamatan. Logiknya, orang dulu tidak ada peluang ke sekolah, hanya mencari ilmu dalam pelbagai cabang sebagai bekalan hidup.

Di sekitar Gopeng, Perak sendiri yang majoritinya dihuni orang Rawa (Rao), ilmu itu masih ada, dan masih ada penjaganya. Cuma bukan sembarangan orang yang boleh rapat atau berhubung dengannya.

Menurut cerita lisan turun temurun, lembaga yang dikatakan harimau jadian itu sebenarnya tidak pernah dilihat secara keseluruhan bentuk fizikalnya. Cuma beberapa penduduk pernah terserempak dengannya pada sebelah malam yang dikatakan mempunyai dua mata yang terang. Sekalipun cuma melihat dua mata yang terang dalam gelap, ia sudah cukup menggerunkan seolah-olah berdepan seekor harimau besar.

Saharudin Karim, 80, adalah antara individu yang pernah terserempak dengan ‘penjaga’ kawasan sekitar Gunung Mesah, tidak jauh daripada kediamannya sekarang. Dulu kawasan itu pernah menjadi tempat kediaman tetapi kini sudah lama ditinggalkan.
Beliau cukup keberatan untuk berkongsi pengalaman tetapi daripada penerangan ringkasnya, makhluk itu pernah menjelma sepintas lalu. Sepanjang ingatannya, penduduk kampung pernah terserempak dua kali dengan makhluk itu.

“Kalau musim durian, usahlah ada niat nak mencuri atau sengaja nak masuk ke kebun orang lain. Jika ada ‘rezeki’ mereka akan terserempak dengan penjaga di situ. Siaplah, mesti demam berminggu-minggu. Ini nak bercerita pun meremang bulu roma.

“Bukannya apa, dia cuma menjaga kawasan kerana orang yang berniat jahat saja akan disergah. Kalau anak cucu ternampak, itu cuma nak tunjukkan dia ada di situ jaga kawasan. Ia tak pernah kacau orang atau saja-saja nak takutkan,” katanya.

Difahamkan, ilmu pusaka itu diwarisi daripada sebelah ibu dan diperturunkan kepada warisnya yang layak memegang amanah. Ia tidak boleh diserahkan sembarangan kerana bimbang tidak mampu mengawalnya. Ilmu itu sebenarnya dibawa nenek moyang mereka dari tanah Rao di Sumatera dan setakat ini ditugaskan menjadi pelindung kepada tiga generasi keturunan mereka.

Bahkan, satu daripada petua amalan berdamping dengan ‘penjaga’ mereka ialah mesti ada satu sesi pertemuan. Bak kata orang tua-tua mesti bergomol dulu dengan harimau itu, baru boleh jadi kawan, maknanya ada wujud rasa serasi.

Kalau lulus bahagian itu, petanda seterusnya ialah bakal pewaris atau penerima akan menerima satu bekalan bahan untuk dijadikan air mandian. Mereka akan menerima daun dan akar kayu yang dihantar ke rumah mereka pada sebelah malam.

Jika ada sebarang kematian membabitkan ahli keluarga atau waris terdekat, pewaris ilmu itu akan menerima petanda ada harimau mencakar dinding rumah dan mengetuk pintu menandakan ada kematian orang terdekat.

Sepanjang upacara mengurus dan mengebumikan jenazah juga biasanya akan berlaku perkara luar dugaan. Kebiasaannya, akan ada antara ahli keluarga yang secara automatik akan bersilat ketika jenazah diusung dan dibawa keluar dari rumah. Biasanya, mereka akan beraksi silat harimau dan ahli keluarga akan membiarkan sehingga dia habis bersilat kerana mereka faham mengenai perkara itu yang dianggap kejadian biasa.

Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI