Seven Collar T Shirt mahu nyanyi lagu Melayu

Thursday, August 19, 2010

Nama Seven Collar T Shirt tidak perlu lagi untuk diperkenalkan, terutama kepada pengikut muzik indie. Kumpulan yang bertandang ke arena muzik menerusi saluran bawah tanah lebih 13 tahun lalu, masih lagi terus bertahan sehingga kini.
Mereka mungkin agak lambat panas atau kurang dikenali berbanding kumpulan indie popular sekarang seperti Meet Uncle Hussain, Hujan, Bunkface, Pesawat dan Grey Sky Morning. Biarpun kurang popular, bagi pengikut indie, Seven Collar T Shirt yang dibarisi empat anggota itu tidak boleh dianggap sebagai orang baru dalam dunia muzik aliran ini, malahan mereka sebagai perintis.

Mereka muncul di dalam industri ini sezaman dengan OAG, Butterfingers, Coffin Cancer, Republic Of Brickfields dan Love Me Butch. Dan sehingga kini, kumpulan yang mendapat nama mereka kerana minat kepada legenda bola sepak, Manchester United, Eric Cantona yang memakai jersi nombor tujuh itu masih lagi terus bertahan.

Seven Collar T Shirt dibarisi oleh Saiful Ridzuan (vokal dan gitar), Muhammad Abdullah (gitar), Adil Ali (dram) dan Keng Lee (Bass). Lebih sedekad melayari industri muzik, mereka turut berdepan pertukaran anggota sebanyak beberapa kali. Cuma Saiful Ridzuan dan Muhammad Abdullah saja anggota asal kumpulan itu.

Sepanjang tempoh membawakan aliran muzik itu, Seven Collar T Shirt memiliki sebanyak tiga buah album. Album pertama muncul pada 1999 dengan judul Freeway Dreaming & Broke, lima tahun kemudian, album kedua mereka pula muncul dengan judul Drones dan terbaru, The Great Battle pada November, 2009.

Kumpulan ini nampaknya masih lagi selesa memperjuangkan lagu-lagu Inggeris berbanding lagu Melayu, sedangkan kebanyakan kumpulan indie bertukar haluan apabila memilih memperjuangkan lagu Melayu kerana penerimaan menggalakkan daripada peminat baru yang terdiri daripada masyarakat Melayu.

Tetapi bagi Seven Collar T Shirt, mereka tidak terburu-buru menukar rentak. Bagaimanapun, hasrat untuk ‘Memelayukan’ kumpulan itu memang ada cuma menantikan waktu dan ketika yang sesuai.

“Memang tidak dinafikan, fenomena kumpulan indie yang sebelum ini membawakan lagu Inggeris beralih kepada lagu Melayu kerana pasarannya baik. Bagi Seven Collar T Shirt, kami tidak perlu terburu-buru untuk menerbitkan album Melayu kerana kami sudah selesa dengan pengikut yang ada sekarang.

“Bagaimanapun, tidak dapat tidak, kami juga sebenarnya berhasrat mahu menghasilkan album Melayu. Kami merancang sekitar hujung tahun ini album itu akan menemui peminat. Agak lama juga untuk kami mengambil keputusan itu kerana lagu Melayu tidak mudah untuk dihasilkan.

“Bahasa Melayu itu lembut dan sensitif, tidak seperti lagu Inggeris yang bahasanya mudah dan senang untuk dijadikan lirik. Kami sangat teliti ketika bekerja dan tidak suka sambil lewa, jadi ia mengambil sedikit masa untuk album itu menemui peminat,” kata vokalisnya, Dwan yang ditemui di Konsert KL Music Fest di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kehadiran Seven Collar T Shirt pada konsert itu memang dinantikan peminat mereka. Meskipun jumlah penonton yang mengecewakan, band berkenaan tetap memberikan persembahan bertenaga dengan mendendangkan sebanyak lima buah lagu daripada rangkaian album mereka antaranya Tet Offensive, Wild Child (Here For You), Fragile, Faith dan Lucky You.

Lebih 13 tahun memperjuangkan arus muzik bebas, pejuang muzik indie kini sudah boleh menarik nafas lega apabila muzik mereka kian diterima. Malah, kesabaran Seven Collar T Shirt juga berbaloi walaupun di awal kemunculan, mereka juga tidak pernah ketinggalan dikritik.

“Sepuluh tahun dulu, rock kapak adalah pemegang kuat industri muzik. Waktu itu, penerimaan orang ramai terhadap lagu-lagu berbentuk eksperimen dan rock alternatif tidak kuat. Saluran untuk kami bergerak juga tak banyak, jadi salah satu caranya adalah dengan bergerak secara bebas.

“Peminat pada ketika itu mengambil masa yang agak lama juga untuk terima muzik baru. Bagaimanapun, peminat sekarang lebih terbuka, sekarang ini pun sudah semakin ramai orang yang datang ke persembahan kumpulan indie kerana arus muzik dan selera peminat juga sudah berubah.

“Sebagai antara kumpulan indie yang terawal di Malaysia, sudah tentu kami amat gembira dengan perkembangan ini kerana pergerakan muzik bebas memakan masa yang lama untuk diterima. Dari 1980 an lagi sebenarnya sudah banyak band yang buat lagu sendiri dan berani mengatakan tidak kepada rock kapak. Ketika era itu, lagu-lagu semuanya sama kerana komposernya sama, begitu juga dengan penulis lirik menyebabkan muzik kita hanya kekal di situ. Jadi ada sekumpulan manusia yang menentang unsur muzik itu, tampil dengan muzik yang lebih segar.

“Bagi saya sendiri, memang sudah tiba masanya telinga pendengar muzik kita berubah. Saya berharap dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi, akan lebih banyak band dan anak muda yang menghasilkan muzik sendiri,” katanya.

Kata Dwan lagi mewakili rakan-rakannya yang lain, konsert seperti di Menara Kuala Lumpur seharusnya diadakan lebih kerap agar dapat mengetengahkan lagi band baru. Di samping itu juga, dapat merapatkan lagi hubungan orang baru dengan yang lama.


Rahsia Doa Pengasih.
Klik sini.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI