Filem Azazil tak tiru The Village

Monday, August 29, 2011

Pengarah prolifik Kabir Bhatia kembali dengan Azazil. Tidak seperti sebelum ini, Azazil cuba memberikan kelainan apabila ia menampilkan tema seram.

Menampilkan pelakon hebat Remy Ishak, Umie Aida, Diana Daniel dan Shaanaz Ahmad. Ia dijangka menjadi antara filem yang ditunggu ramai memandangkan kejayaan drama bersiri Ku Seru yang pernah dihasilkan Kabir sebelum ini.

Sebelum ini sewaktu Ku Seru mendapat sambutan hangat penonton TV3 suatu ketika dulu, Kabir pernah memberikan kenyataan akan menghasilkan filem konsep serupa.

Sewaktu ditemui di lokasi di Ulu Yam, Selangor baru-baru ini, Kabir bagaimanapun menafikan bahawa Azazil adalah kesinambungan daripada drama bersiri Ku Seru sebaliknya ia adalah karya asli yang mana idea datang daripada isterinya juga penulis skrip, Mira Mustafa.


Azazil mengisahkan kehidupan satu keluarga yang melarikan diri ke dalam hutan di zaman penjajahan Jepun. Mereka berusaha membina kembali hidup cara sendiri, namun keamanan diperoleh tidak kekal lama apabila diganggu makhluk yang tidak diketahui.


“Ia bukanlah cerita hantu seperti apa yang dipaparkan dalam Ku Seru. Ia sama sekali berbeza. Lagipun latar tahun peristiwa ini berlaku sangat berbeza,” ujarnya.

Mendengarkan penjelasan Kabir, pasti membuatkan ada yang mengaitkan ia dengan filem M Night Shyamalan, The Village yang membawa tema sama di mana sekumpulan masyarakat cuba membina hidup daripada dunia luar, bagaimanapun keamanan hidup dijalani diganggu kehadiran makhluk misteri yang sering dimomokkan sebelum ini.

Ditanya mengenai perkara itu, Kabir sekali lagi menafikan dengan menegaskan bahawa Azazil yang membawa maksud dongeng adalah karya asli.

“Tidak mungkin wujud persamaan antara Azazil dan The Village kerana keluarga yang lari ke dalam hutan tahu apa yang berlaku di dunia luar sedangkan The Village menggambarkan masyarakatnya tidak tahu akan kemajuan yang berlaku di luar,” katanya.

Menyentuh barisan pelakon dipilih katanya boleh dikatakan semua pernah bekerja dengannya jadi dia tahu akan kredibiliti mereka dalam melakonkan watak diberikan.

“Memang kebanyakan pelakon yang terbabit dalam filem ini seperti Remy, Umie dan Diana pernah bekerja dengan saya. Ini lebih mudah kerana mereka faham cara kerja saya dan tahu apa yang saya mahukan,” katanya.

Sementara itu mengenai Shanaaz pula walaupun kali pertama bekerja dengannya dalam Azazil, Kabir tidak menghadapi masalah untuk membentuk lakonan pelakon yang sedang meningkat naik itu.

Bagi Remy, dia berbesar hati apabila sekali lagi ditawarkan Kabir untuk memegang peranan utama sebagai Kamal dalam filem Azazil dan senang dapat bekerja dengan pengarah berpengalaman itu.

“Saya tidak menghadapi banyak masalah kerana faham dengan kehendak Kabir, begitu juga dengan pelakon lain. Kami dapat bekerja sama dengan baik kerana setiap kali sebelum masuk lokasi kami akan berbincang. Keserasian antara saya dengan Diana yang memegang watak Aishah juga senang kerana kami pernah bekerjasama sebelum ini,” katanya.

Shanaaz pula menjelaskan sebelum diterima untuk berlakon dalam Azazil, dia terlebih dulu menjalani uji bakat yang sudah dijalani pada bulan Mei lalu.

“Saya memang teringin sangat bekerja dengan Kabir, malah saya rasa ramai pelakon turut berasakan perkara sama dan ternyata rezeki berpihak kepada saya.

“Pertama kali bekerja dengannya banyak perkara baru yang saya pelajari, terutama membabitkan pengarahan. Selaku pengarah dia menjaga semua perkara daripada lakonan, gerak sehinggalah persekitaran membabitkan setiap babak,” katanya.

Filem yang menelan belanja mencecah RM1.4 juta bakal ditayangkan pertengahan tahun hadapan dan turut menampilkan pelakon popular lain seperti Emelda Rosmila, Fizo Omar, Sara Ali dan Aznah Hamid.

Oleh Rudy Imran Shamsudin

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI