Rusuhan semakin merebak di London /Britain

Wednesday, August 10, 2011

Kota London yang selama ini dikenali sebagai bandar raya yang aman dan selamat untuk dikunjungi kini bertukar menjadi medan rusuhan, segala-galanya berpunca daripada insiden kecil seorang lelaki maut dalam kejadian berbalas-balas tembakan dengan polis.

Gelombang keganasan dan kejadian mencuri yang sudah masuk hari ketiga di seluruh kota ini kini merebak pula ke tiga bandar raya utama lain di Britain, semalam.

Campur tangan pihak berkuasa masih gagal membendung kekacauan terburuk di negara ini sejak rusuhan kaum menyebabkan London terbakar pada 1980-an.

Sementara itu, seorang lelaki yang cedera akibat terkena tembakan semasa memandu ketika rusuhan di kota ini meninggal dunia di hospital semalam, menjadi korban pertama keganasan di London.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditemui cedera dengan kesan tembakan lewat Isnin lalu di Croydon, di selatan London di mana perusuh bertindak membakar banyak bangunan di bandar itu, kata pegawai polis Metropolitan London.

Polis sedang melancarkan siasatan berhubung pembunuhan itu.

Di London, gerombolan pemuda mengganas masuk malam ketiga berturut-turut semalam dengan bertindak membakar bangunan, kenderaan dan tong sampah, mencuri barangan kedai dan membaling botol serta mercun ke arah anggota polis.

Polis meminta bantuan tambahan ratusan anggota dan mengambil keputusan luar biasa untuk mengerahkan kereta perisai di beberapa daerah yang paling teruk dilanda keganasan.

Namun, mereka masih mengalami kesulitan untuk membendung huru-hara yang merebak di kawasan-kawasan panas di seluruh London, di bandar-bandar raya Birmingham, Bristol dan Liverpool.

Pihak berkuasa mengakui insiden-insiden baru keganasan di kawasan utama menyebabkan mereka tidak ‘menang tangan’.

“Keganasan yang kita saksikan tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana kehidupan orang ramai menjadi kacau-bilau disebabkan perbuatan samseng,” kata komander polis, Christine Jones.

Perkhidmatan Ambulans London merawat 16 mangsa rusuhan, 15 daripadanya terpaksa dimasukkan ke hospital, manakala polis menangkap 334 orang dan mendakwa 69 lagi atas pelbagai kesalahan.

Tidak ada satu faktor yang dilihat menyatukan perusuh, walaupun sesetengahnya mendakwa mereka menentang potongan perbelanjaan kerajaan yang akan mengurangkan bayaran faedah kebajikan dan menghapuskan puluhan ribu jawatan sektor awam sehingga akhir 2015.


Sebahagian lagi dipercayai mengambil kesempatan untuk melakukan keganasan.

Kekacauan yang merebak itu menjadi amaran bagi penganjur Sukan Olimpik 2012 tentang kemungkinan berlakunya keganasan semasa temasya tersebut yang bakal berlangsung kurang setahun dari sekarang. – Agensi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI