Beruas, Perak

Wednesday, August 24, 2011

Mengikut buku Sejarah Perak karangan Tun Seri Lanang, Beruas yang terletak kira-kira 48 kilometer dari Lumut, Perak dibuka oleh Raja Acheh, Malik Al Mansur pada kurun ke-15 selepas diusir dari istana kerana dipercayai melakukan perbuatan sumbang.

Selepas penat belayar akhirnya rombongan Malik Al Mansur sampai dan berehat di bawah pokok yang dikenali pokok beruas. Bermula dari sinilah Beruas mendapat namanya. Mengikut catatan sejarah, di sini terletaknya pusat pentadbiran dua kerajaan lama berusia ratusan tahun lalu, iaitu Kerajaan Melayu Beruas dan Gangga Negara. Malahan menurut pengkaji sejarah, kedua-dua kerajaan agung yang bertapak kira-kira 600 tahun lalu itu dipercayai telah wujud lebih awal lagi daripada kerajaan Melayu Melaka.

Muzium Beruas,Perak

Kewujudan kerajaan Melayu Beruas dan Gangga Negara itu boleh dilihat berdasarkan kesan sejarah peninggalannya yang masih wujud di beberapa kawasan sekitar Beruas malah banyak artifak purba ditemui penduduk. Kesan tinggalan itu juga menunjukkan pusat pentadbiran kerajaan Melayu Beruas, terletak di Kampung Kota, kira-kira tiga kilometer dari Pekan Beruas.

Di Kampung Kota, kesan peninggalan bersejarah seperti perkuburan raja dipercayai milik Raja Beruas I dan Raja Beruas II serta ratusan kubur lama masih jelas kelihatan termasuk tapak pintu gerbang kerajaan Melayu Beruas.

Bagi memastikan khazanah yang tidak ternilai itu terus dipulihara, pihak Muzium Negara telah mengambil langkah dengan menubuhkan Muzium Beruas bagi menempatkan pelbagai artifak kerajaan Melayu Beruas dan Gangga Negara yang ditemui di sekitar pekan itu.

Muzium berkenaan yang terletak di tepi jalan besar Beruas-Taiping itu dibuka kepada orang ramai secara percuma setiap hari mulai 9.30 pagi hingga 5 petang termasuk pada setiap Sabtu dan Ahad bagi memberi peluang kepada pengunjung dari negeri berhampiran untuk melihat bahan bersejarah yang dipamerkan di situ.

Pengarah Muzium Negeri Perak, Nor Janati Ibrahim berkata, bangunan Muzium Beruas itu dulunya sebuah mahkamah kemudian dijadikan pula pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kawasan Beruas. Menurutnya, kerja awal pembaikan dan ubah suai dijalankan awal tahun 1994 dengan dibiayai oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan melalui Jabatan Muzium.

Nor Janati berkata, selepas kerja ubah suai selesai dijalankan, pada 23 Mei 1995, bangunan itu diserahkan oleh Ketua Pengarah Muzium Negara, Mohd Zulkifli Abdul Aziz kepada kerajaan negeri Perak menerusi Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ketika itu, Datuk Abdul Habib Mansor. Muzium Beruas kemudian dibuka kepada orang ramai mulai Julai 1995 dan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak ketika itu, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Antara bahan awal yang dipamerkan ialah pelbagai artifak lama hasil dari projek penelitian sejarah Beruas fasa pertama oleh Jabatan Muzium, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Persatuan Peminat dan Pengkaji Sejarah Manjung (PPPSM) yang dibiayai kerajaan negeri Perak pada 25 November hingga 25 Disember 1991. Turut serta dalam projek itu ialah Prof. Datuk Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman.

Menurut beliau, bahan yang dipamerkan kepada pengunjung turut diperoleh hasil sumbangan penduduk tempatan dan ada juga beberapa artifak yang dibeli daripada orang ramai. Beliau berkata, sehingga kini terdapat lebih 300 koleksi barangan iaitu pinggan mangkuk tembikar yang dipercayai berasal dari China, Belanda serta England, periuk tanah, batu giling, wang tampang timah berbentuk kura-kura dan barangan tembaga ditempatkan untuk pameran di Muzium Beruas.

Menurutnya, selain itu, sepucuk meriam tembaga seberat 128 kilogram yang diperoleh dari Kampung Pulau Meranti oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Manjung ketika kerja-kerja pembersihan untuk mendalamkan Sungai Beruas pada 1986 lalu turut dipamerkan.

"Dengan adanya penemuan baru barang-barang purba di sekitar Beruas, khazanah bersejarah dan koleksi muzium akan bertambah.

"Ini akan menarik kunjungan ramai pelancong termasuk pelancong asing ke sini secara tidak langsung merangsang perkembangan ekonomi penduduk tempatan," katanya.

Mereka yang berminat berkunjung ke Muzium Beruas boleh menghubungi Kurator Muzium Beruas menerusi telefon di talian 05-6740160 dan faksimili 05-6740160 untuk sebarang pertanyaan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI