Kejohanan Badminton Dunia: Lee Chong Wei berjaya menewaskan Chen Jin 21-13, 21-9

Sunday, August 14, 2011

Perseorangan utama negara Datuk Lee Chong Wei mara ke pusingan akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Dunia di Arena Tertutup Wembley di London Sabtu.

Beliau, yang juga pilihan utama kejohanan, mengenepikan pilihan keenam Chen Jin dari China 21-13, 21-9.

Chong Wei mempamerkan permainan cemerlang pada set pertama termasuk melakukan beberapa pukulan kilas dan lintang yang mematikan gerakan Chen Jin.


Pada set kedua, Chen Jin cuba bangkit dengan mendahului 0-4 pada minit-minit awal permainan, namun Chong Wei berjaya menyamakan kedudukan 7-7 dan terus menguasai permainan sehingga mata penamat.

Ini merupakan kali pertama Chong Wei berjaya melangkah ke pusingan akhir kejohanan berprestij itu sepanjang bergelar pemain badminton profesional.

Beliau juga merupakan perseorangan negara pertama yang melakukannya selepas Wong Choong Han pada 2003.

Dalam perlawanan akhir Ahad, perseorangan nombor satu dunia itu akan bertemu pemenang perlawanan di antara pemain China Lin Dan (pilihan kedua) dengan Peter Hoeg Gade (pilihan ketiga) dari Denmark yang akan berlangsung selepas 11.30 malam ini waktu Malaysia.

-- BERNAMA



0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI