Malaysia dikecam hantar pulang etnik Uighur

Wednesday, August 24, 2011

2 kumpulan hak asasi manusia China, hari ini menuduh kerajaan Malaysia mengikut telunjuk Beijing dan melanggar piawaian antarabangsa berhubung penghantaran pulang etnik Uighur ke China secara paksa.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan (HRW) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Malaysia menghantar pulang 11 etnik Uighur pada minggu lalu dan menahan lima yang lain awal bulan ini bersama-sama 16 warga China lain dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Sehubungan itu, kumpulan hak asasi tersebut menggesa Malaysia memberi penjelasan secara terbuka berhubung penghantaran pulang 11 etnik tersebut ke China pada Khamis lalu, termasuk seorang suami kepada warga Malaysia.

"Penghantaran pulang itu telah melanggar piawaian undang-undang antarabangsa malah boleh menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dengan China," kata Persatuan Uighur AS.

Pengarah Polisi Pelarian HRW, Bill Frelick berkata, penghantaran pulang tersebut dilihat sebagai satu ujian kepada Malaysia dalam membentuk prinsip asas perlindungan golongan pelarian.

"Ia (penghantaran) bersifat diskriminasi, dan sepatutnya, Malaysia, Thailand, Pakistan dan semua negara serantau perlu berganding bahu membantu meredakan ketegangan yang berlaku," katanya.

Selain Malaysia, beberapa negara Asia lain turut menghantar pulang etnik Uighur ke China dalam tempoh dua tahun lalu.

Sementara itu, HRW dan beberapa kumpulan hak asasi manusia yang lain merekodkan terdapat banyak penyalahgunaan tindakan kekerasan kerajaan dalam pergolakan di Xinjiang sejak beberapa dekad lalu termasuk penyeksaan dan penahanan etnik Uighur. - dpa

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI