(Video) Pelajar Malaysia,Asyraf Haziq Rosli diserang di London

Rabu, Ogos 10, 2011

“Anak saya bukan saja dipukul hingga patah gigi dan rahang, tetapi dia disamun sekumpulan lelaki sebaik melalui satu kawasan rusuhan di London,” kata Rossli Harun, 49, bapa pelajar Malaysia di Universiti Kaplan, London, Asyraf Haziq, 20.

Rossli berkata, dia dihubungi Mara dari bahagian pelajar luar negara pagi semalam, memberitahu mengenai kejadian menimpa anaknya itu.
Menurutnya, daripada maklumat yang diperoleh, anaknya serta seorang kawan Mohd Fariz ketika itu dalam perjalanan untuk berbuka puasa di rumah pelajar senior mereka.

Rossli yang bekerja sebagai Pengurus Eksekutif Bangunan berkata, dia terkejut dengan berita itu kerana beberapa jam sebelum kejadian, Asyraf ada menghubunginya untuk bertanyakan khabar ibu serta keluarga lain.

“Rasa macam tak percaya kerana dia baru saja telefon kira-kira jam 11 malam semalam (kelmarin), tiba-tiba pagi tadi (semalam) kira-kira jam 9 pagi, kami dikejutkan dengan berita yang menimpa Asyraf.

“Saya ada juga menghubungi Wisma Putra untuk mengetahui mengenai keadaan rusuhan di sana, namun dimaklumkan tiada rakyat atau pelajar Malaysia yang terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, video bagaimana Asyraf dipukul dan disamun tersebar dalam YouTube di Internet. Namun, dia bersyukur anaknya itu selamat dan kini dirawat di hospital.
“Kami juga difahamkan, Asyraf akan dibedah esok (hari ini) untuk merawat rahangnya yang patah. Saya sekeluarga begitu bimbang dan bersedih dengan apa yang menimpa anak, tambahan dia baru saja sebulan di sana melanjutkan pelajaran.



Asyraf Haziq Rosli


0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI