Lutein dan zeaxantin untuk kesihatan mata

Thursday, October 01, 2009

Rabun dan terjejasnya daya penglihatan lazim berlaku dengan peningkatan usia dan ini semakin ketara terutama di kalangan mereka yang berusia melebihi 65 tahun. Berdasarkan laporan dalam Archives of Ophthalmology pada April 2005, degenarasi atau kemerosotan makula akibat penuaan (ARMD), katarak dan diabetik retinopati adalah masalah mata yang paling lazim di kalangan rakyat Amerika berusia 40 tahun dan ke atas.

Mata adalah organ kompleks dan anugerah tidak ternilai yang membolehkan kita melakukan pelbagai kerja dengan mudah. Retina mata bertindak seakan filem kepada sebuah kamera dan membran yang mengandungi sel-sel saraf fotoreceptor yang membarisi dinding belakang mata. Sel-sel saraf ini mengubah sinaran cahaya kepada impluls elektrik dan menghantarnya melalui saraf optik ke otak yang mana imej boleh dilihat atau diamati, manakala makula yang berada di tengah retina pula adalah bahagian yang sensitif dan bertanggungjawab kepada ketajaman penglihatan.

Retina dan makula mudah terdedah kepada tekanan oksidatif akibat penggunaan oksigen yang tinggi, kandungan asid lemak yang tinggi dan pendedahan kepada cahaya.

Kemerosotan makula akibat penuaan (ARMD) terjadi apabila sel-sel makula menjadi rosak. Ini akan menjejaskan ketajaman penglihatan, khususnya penglihatan tengah yang menjejaskan banyak aktiviti harian seperti membaca, memandu dan sebagainya.

Selain penuaan, kekurangan nutrien, pendedahan berlebihan kepada cahaya terik matahari seperti cahaya ultra lembayung (UV) dan genetik juga meningkatkan risiko-risiko penyumbang kepada kemerosotan makula.



Kepentingan pengambilan nutrien antioksida secara konsisten dalam memperlahankan perkembangan ARMD juga disokong oleh kajian, seperti AREDS (Age-Related Eye Disease Study) yang membabitkan 3,600 orang peserta yang memperlihatkan hasil yang menggalakkan. Mereka yang berisiko tinggi akan mengalami ARMD boleh dikurangkan risikonya sehingga 25 peratus dengan pengambilan suplemen antioksida.

Ujian AREDS dan kajian lain menunjukkan nutrien antioksida seperti vitamin A, C, E dan zink, selenium, lutein dan zeaxantin boleh bersama-sama menentang oksidasi yang menyebabkan kemerosotan makula dan melindungi mata daripada kemerosotan yang lebih teruk.

Kajian juga menunjukkan lutein dan zeaxantin adalah dua nutrien yang bertindak seakan sepasang kacamata yang melindungi mata daripada kesan pengoksidaan cahaya UV. Semakin banyak cahaya matahari yang tidak ditapis sampai ke retina, semakin banyak lutein akan digunakan untuk mempertahankan dan melindungi tisu-tisu retina yang lembut.

Berdasarkan laporan, pengambilan makanan serta penyerapan lutein dan zeaxantin boleh menentukan ketumpatan pigmen perlindungan makula di belakang mata. Konsentrasi plasma lutein dan zeaxantin yang rendah atau kekurangan pengambilan nutrien ini berkait dengan rendahnya ketumpatan pigmen makula ini. Semakin banyak bukti yang mengaitkan ARMD dengan paras pigmen makula yang rendah.

Dari segi pemakanan, pastikan anda mengambil makanan yang pelbagai, terutama buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan yang tinggi dengan lutein dan zeaxantin termasuklah jagung, telur kuning, dan sayuran serta buahan seperti brokoli, kacang hijau, kobis, kailan, bayam buah kiwi dan pelbagai lagi. Lutein dan zeaxantin juga boleh didapati daripada kelopak bunga yang berwarna kuning seperti bunga tahi ayam.

Ekstrak bilberi juga tidak kurang manfaatnya untuk kesihatan mata kerana keupayaannya dalam memperbaiki penghantaran oksigen dan darah ke mata serta mempunyai sifat antioksida. Ekstrak bilberi mengandungi antosianin yang melindungi sel endothelial pada membran daripada menjadi tegar dan menjadikan kapilari lebih fleksibel, dengan itu menggalakkan pengaliran darah ke retina. Selain bilberi, beri yang berwarna terang seperti beri hitam dan beri biru juga mengandungi antosianin yang berfungsi sebagai penentang radikal bebas dan menghalang radikal bebas daripada merosakkan mata. Alternatifnya, nutrien-nutrien antioksida ini juga boleh diperoleh dalam bentuk suplemen dan ia menjadi pilihan di kalangan mereka yang ingin memperoleh bekalan dengan dos yang konsisten dan berterusan.

Sebagai pelindung tambahan, pakailah kaca mata yang boleh melindungi daripada sinaran UV dan juga mengurangkan tekanan kepada mata. Sekiranya anda berumur lebih daripada 45 tahun, anda disarankan membuat pemeriksaan secara berkala agar kita boleh menangani dan mengambil langkah awal yang terbaik demi mengurangkan risiko kehilangan deria penglihatan yang berharga ini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI