Cerpen Melayu : Kuhantar Bintang Ke Langit

Monday, October 05, 2009

Cerpen: Kuhantar Bintang Ke Langit

Desing kuat dari langit kesan laluan laju cahaya jingga berekor kebiruan membuatnya terjaga. Dia memandang keliling. Batu gua itu sejuk. Mata teduhnya memandang roti dalam bekas keemasan di sisi perbaringan. Pun ada air minuman masih suam, belum berusik dalam koleh, juga keemasan. Dia sentuh roti itu masih lembut. Bau harum gandum baru dikeluarkan dari bara pembakar dalam loyang acuan metah menyegarkan.

Kedua-dua tangan diangkat tinggi tegang ke atas, ke depan dan mendepa kanan kiri. Kedua-dua kaki dilunjur lurus.

Dia berkalih. Tersentap dia tatkala memandang bias daripada kocak air di kolam; rambut panjang mencecah lantai, seputih kapas. Alis juga seputih kapas. Kuku tangan dan kaki sama panjang dengan jari jemari, melengkung seperti belulang kering.

Dia terkesima. “Kau siapa?”

Lama Dia memikir. Dibelek-belek bayangan itu. Wajah itu masih miliknya. “Aku rupanya.” Dia membersihkan diri. Mandi air dari telaga dingin diapungi bunga-bungaan. Kuku dan rambut dipotong. Muka, kaki, tangan, telinga dan ubun-ubun dibasahi air wuduk.

Keluar dari gua, hidungnya kembang kempis. Dia bersin beberapa kali. Bau di luar tidak senyaman dulu. Ada pengit seperti batu dan besi serta getah terbakar. Ada hancing seperti air buangan sisa kumbahan dari dalam usus. Ada busuk seperti bau bangkai. Dia mencari-cari batu hangus itu. Ketika itu, sebutir meteor berdesup jatuh dari langit, lalu terdampar beberapa meter dari tempatnya berdiri. Gegerannya sedikit kuat. Perlahan Dia hampiri batu itu. “Kau jatuh, atau terjatuh dari langit tinggi? Kenapa mencemar diri di bumi yang pelbagai warna dan bau ini?” Dia mengusap ketulan makas panas dipegang dengan tangan yang sudah menongkah zaman.

“Aku bukan jatuh atau terjatuh, tapi dijatuhkan. Perjuangan damaiku dengan slogan: berikan kasih sayang ilmu dan makanan bukan senjata, kebuluran dan peperangan ditentang habis-habisan. Aku dilabel penghasut. Penyokongku berpaling tadah apabila disogok emas berbongkah. Aku bukan lagi penghuni alam yang tinggi itu. Aku bukan lagi sebutir bintang mengerdipkan sinar pada gelap suram dan temaram di sekitar diri.” Sedu-sedan batu itu turut menghibakan hatinya.

“Bumi bukan tempat buangan. Engkau masih layak menjadi bintang. Engkau ditendang ke bumi luar bukan kerana kesilapan seperti Adam dan Hawa yang diusir dari syurga selepas memakan buah khuldi setelah dihasut syaitan.” Lalu dia meluncur naik menghantar batu pejuang kembali menghuni cakerawala.

Kakinya kembali berpijak semula di bumi. Dia berjalan menyusur pesisir. Kaki jubah basah diresapi air laut. Air masin itu jadi tawar sebaik terkena jubah. Di tepian pantai biru jernih itu dilihatnya banyak sekali batu berserakan. Pelbagai saiz dan warna. Dia berdiri memerhati dengan mata redup dan teduh. Dia turut mendengar keluh resah berbaur antara debur ombak di pantai. Ada rintih bertindih-tindan dan bersipongang di situ.

“Kenapa menangis?” Dia menancapkan mata redup teduhnya ke atas pepasir dan batu-batu lecun dijilat lidah laut.

“Kembalikan aku ke langit.” Suara banyak berlapis bertindih-tindan itu mendayu-rayu.

“Aku ingin naik ke langit. Aku belum pernah ke langit tinggi. Langit terlalu tinggi dan luas, mustahil boleh digapai tanpa sebarang bantuan.” Beberapa suara berbeza nada dan gema berebut-rebut menusuk lohong telinganya.

“Aku mahu menjadi bintang. Hantarlah aku ke langit. Dari atas langit bintangku jika menyinar dilihat semua makhluk di bumi dan cakerawala lain. Di bumi aku lemah dan lemas. Aku bosan hidup sebagai makhluk biasa-biasa saja. Jika menyinar pun, sinaranku kebanyakannya tertampan pada bangunan mercu tanda tinggi-tinggi, lalu tidak sampai ke mana. Aku mohon hantarlah aku ke langit. Hanya yang dianugerahi kuasa mampu mengembalikan kerdipan di langit.” Beberapa batu putih seputih ketulan ais kutub utara dan selatan kecil besar berlumba-lumba menerpa kakinya. Basah lecun kakinya. Lecun disentuh lidah laut, basah dek tangisan batu-batu.

“Aku! Aku! Aku! Tolong hantarkan aku kembali ke langit. Aku berasal dari langit, aku mesti tinggal di langit!” Sebutir batu hitam menghempas-hempas jarak sehasta di hadapan kakinya.

“Semua batu berasal dari langit berwarna putih, kenapa engkau hitam?”

“Inilah dosa berat yang kutanggung. Aku bukan sekadar dicampak ke bumi, malah wajah dan seluruh anggotaku jadi hitam legam. Tapi aku sudah bertaubat. Aku tidak lagi mahu melakukan dosa-dosa itu. Tolong kembalikan aku pada warna putih bersih seperti awan yang tidak mengandung hujan. Aku taubat. Taubat nasuha. Tidakkah taubat hamba yang insaf, diterima?”

“Jika begitu apa dosamu batu hitam?” mata redupnya menerobos seluruh zat batu yang berbau tengik itu.

“Banyak sekali. Tidak terhitung dengan jari. Antaranya termasuk mencederakan ibu tua yang tinggal sendiri serta merogol kemudian membunuhnya. Anak-anak hasil perogolanku terhadap wanita muda kubenam dalam air agar tidak jadi beban kepadaku. Ibunya juga kubenam sama sampai tidak bernafas agar dia tidak mengkhianati selepas puas kukerjakan. Aku mahu jadi batu yang betul-betul putih, bersinar memberi cahaya kepada alam semesta. Aku ingin kembali ke langit. Tolong hantarkan aku ke sana!”

“Engkau tidak akan jadi putih semula tanpa usaha pemutihan. Engkau mesti diputihkan dulu dengan sesungguh hati sebelum dihantar kembali ke langit.”

Batu hitam melantun masuk ke dalam tasik jernih hijau kebiruan, bergolek-golek menggosok badan dengan pepasir halus, mempelas dan sabun wangian bunga lavendar. Selepas berhari-hari menggosok dan berlangir badannya yang hitam tidak juga jadi putih. Malah air tasik yang tadi jernih biru kehijauan, bertukar jadi keruh hitam pekat. Batu hitam menangis, meraung-raung. Air matanya juga hitam likat sehitam dakwat sotong. “Kalau begini, biar aku mati! Biar aku mati!” lolongannya memeranjatkan seluruh hidupan bumi. Kodok bufo-bufo rasa terancam lalu menyorok ke bawah sungkup. “Mari,” Dia angkat batu hitam yang masih menggeletar di dasar tasik, lalu dibersihkan. Batu hitam beransur hilang hitamnya. Namun kasyafnya melihat di dasar paling jauh di tengah hati batu itu sebutir titik hitam temaram di sana.

“Hantar segera aku balik ke langit.” Batu hitam melantun-lantun minta diangkat. Dia bawa batu hitam terbang ke langit tinggi. Setibanya di alam lazuardi tanpa secalit awan pun (seperti langit yang memayungi Kaabah) dia lepaskan batu hitam. Pantas Dia kembali turun ke bumi. Dari atas puncak gunung Dia berdiri memandang ke langit. Dia lihat kerdipan beberapa bintang baru dihantarnya ke sana tadi. “Bintang-bintang mulai bersinar,” dia senyum.

Sebutir batu berdesur jatuh tidak jauh dari tempatnya berada. Dilihatnya batu hitam yang baru dihantarnya tadi, terkulat-kulat ditimbus timbunan tanah yang turut berubah jadi hitam berbau tengik hangit.

“Engkau?” baru perkataan itu sempat disebut, tiba-tiba batu itu bergolek lalu jatuh dan tergantung di awangan. Dia memandang batu yang sudah pun kembali hitam.

“Aku bersahabat dengan bomoh yang menggunakan kuasa syaitan demi kekayaan dan kesenangan hidup. Tolong hantar aku kembali ke langit dan pastikan kali ini aku tidak jatuh semula.” Suara batu hitam keras mendesak.

“Aku tidak punya kuasa mengekalkan sesiapa terus berada di atas sana. Engkau tahu siapa boleh mengampuni dosamu.” Pantas dia meninggalkan batu hitam.

Kakinya disenggayuti batu-batu putih jernih sedang berhimpun dalam sebuah kawasan dipenuhi bunga-bunga keindahan. Suara keriangan diperdengarkan.

Hantarkan kami ke langit sujana/Biar jadi bintang bercahaya/Kami indahkan alam semesta dengan rangkaian aksara/Biar seluruh cakerawala terpesona/

Sejuk hatinya mendengar ungkapan. Ralit mata memandang wajah-wajah yang berhias gugus-gugus madah itu. Dia memandang batu-batu jernih seperti ketulan ais turun sebagai hujan batu dari langit itu dengan asyik.

“Kami ingin menjadi bintang.”

“Kamu pernah naik ke langit?”

“Tidak. Sebab itu kami ingin ke sana. Ingin menjadi bintang cantik mengerdip di langit tinggi.”

Ringan hatinya mendengar permintaan itu. “Ya. Akan kuhantar bintang ke langit. Biar langit sentiasa bersinar dengan kerdip keindahan.”

Segera ditatangnya bukan sebutir tapi puluhan batu-batu jernih sejernih embun pagi di kelopak mawar merah itu naik ke langit. Puluhan kali dia naik menghantar batu-batu bakal mewarnai langit nan satu.

“Aku ingin menjadi bintang.” Batu jernih dan dingin itu menguntumkan senyum bagaikan padma sedang mengorak kelopak. “Aku sudah cukup bersedia dengan ilmu dan pengetahuan di dada.”

“Kuhantar engkau ke langit. Jadilah sebutir bintang yang bersinar dan mengindahkan alam luas di atas sana dengan kerdipan cantikmu.” Sebaik tutur kata selesai diucapkan batu jernih itu sudah pun berada di langit.

Batu-batu jernih tunduk hormat mencium kura tangannya.

Dia ucapkan, “Selamat menempuh dunia baru. Dunia keindahan penuh cabaran.”

Sebaik kaki memijak bumi, gemuruh bunyi hujan batu turun menimpa pepohon, gunung, bukit, sungai, tasik, danau dan rerumput hijau. Dia tenang memandang. Batu jernih sejernih air mata rupanya yang gugur. Gugur sebagai hujan yang dingin lagi putih bertebaran di serata tempat.

“Begitu pantas engkau turun? Kenapa? Kata hendak jadi bintang?”

“Kami turun selepas tidak mampu mengerdipkan cahaya di atas sana. Kami kekurangan tenaga untuk mengeluarkan sinaran cantik sebutir bintang.”

Berdesup, berpuluh butir batu cantik jernih kembali turun di sisi kakinya. Dia tidak lagi bertanya. Dia pasti batu-batu jernih putih itu memberikan jawapan yang sama dengan yang pertama ditanyai tadi.

Dia mendongak memandang langit. Banyak juga batu-batu sejernih ais dihantarnya tadi berjaya menghias angkasa di sebalik awan-gemawan bersama cakerawala lain mengerdip indah, menyerak cahaya memancar wibawa.

Banyak yang berjaya, banyak pula yang gagal, gugur, lalu sangkut terkial-kial di atas awan-gemawan mencari laluan untuk kembali ke langit sebagai bintang dengan kekuatan dan ilmu yang tebal di dada.

“Kejayaan diperoleh dari apa yang kita usahakan, bukan semata-mata daripada apa yang kita ketahui.” Mata Dia mengerdip seperti bintang tatkala dia menengadah ke langit.

Oleh Zaharah Nawawi

Info

ZAHARAH Nawawi yang berpengalaman luas dalam kewartawanan sejak 1950-an, menghasilkan karya sastera dalam pelbagai genre termasuk cerpen, novel, puisi dan esei. Pengasas Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) yang bermatlamat memberi bimbingan kepada penulis muda itu, menerima Anugerah Penulisan Sea pada 1996. Penulis boleh dihubungi di http://www.kepezi.blogsopt.com/

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI