10 maut kereta api terbabas dalam hujan

Tuesday, October 06, 2009

10 maut kereta api terbabas dalam hujan

BANGKOK: Sebuah kereta api yang dalam perjalanan ke bandar ini dari Trang tergelincir berhampiran Hua Hin awal pagi semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 penumpang dan mencederakan 88 lagi.

Chatree Charoencheewakun, pengarah Institut Perubatan Kecemasan Thailand, berkata penumpang yang cedera segera dikejarkan ke hospital di Prachaup Khiri Khan dan wilayah berhampiran.

Jurucakap Kereta Api Thailand (SRT), Montakarn Sivirat, memberitahu sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam kejadian yang berlaku ketika hujan lebat.

Semua yang maut termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun adalah rakyat tempatan, kata polis tempatan.

Punca kemalangan masih tidak diketahui namun mungkin disebabkan landasan yang rosak, kata pegawai SRT.

Enam daripada 16 gerabak kereta api itu tergelincir di luar landasan ketika menghampiri stesen Khao Tao di Prachuap Khiri Khan daerah Hua Hin, kira-kira jam 4.42 pagi ketika hujan lebat.
PASUKAN penyelamat mengangkat mangsa nahas kereta api untuk dihantar ke hospital.

Kemalangan itu menyebabkan SRT menutup landasan menghala ke selatan. Sekurang-kurangnya seorang mangsa terperosok di celah gerabak, kata gabenor SRT, Yuthana Thapcharoen.

"Kami kesal dengan kemalangan yang meragut nyawa itu dan sedang menyiasat punca kemalangan," kata Yuthana.

Menteri Kesihatan Awam, Witthaya Kaewparadai, mengarahkan timbalannya Manit Nopamornbodee dan pasukan perubatan ke tempat kejadian bagi membantu penumpang yang cedera.

Yuthana berkata, sepasukan penyiasat kemalangan sudah mula memeriksa tempat kejadian. Ia mungkin sehari atau lebih sebelum gerabak yang rosak ditunda dan dialihkan.

Perkhidmatan kereta api laju antara Bangkok dan rantau selatan ditangguhkan selepas kejadian itu, kata Thanong Pongprasert, pengarah SRT di pusat selatan.

Perkhidmatan itu akan tergendala selama satu atau dua hari. Penumpang yang sudah membeli tiket akan dipulangkan wang mereka sepenuhnya, kata Thanong. � Agensi

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI