3,793 guru sandaran dilantik semula

Wednesday, August 03, 2011

Seramai 3,793 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) daripada baki 7,258 orang yang belum dilantik telah dilantik semula ke jawatan itu berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan pelantikan itu dibuat menerusi perjumpaan khas antara kementeriannya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Kementerian Kewangan pada 30 Jun lalu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Rosli Mohamed pada 1 Julai lalu.

"Seramai 972 orang daripada kumpulan yang dilantik ini akan mengikuti latihan perguruan selama 18 bulan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Disember ini.

"Seramai 2,821 yang lain akan mengikuti latihan perguruan di institut pendidikan guru (IPG) untuk sesi pengambilan Januari 2012,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Pada bulan Mac lalu, kerajaan telah mengumumkan seramai 13,184 GSTT tahun 2010 akan dilantik semula bagi tahun 2011 dan berikutan itu pada Mei lalu seramai 5,926 orang telah dilantik sebagai GSTT semula dan tinggal baki seramai 7,258.

Menurut Muhyiddin, guru yang memiliki ijazah dan berkursus di IPG, mereka dijadual mengikuti latihan selama 18 bulan dan bagi yang tidak mempunyai ijazah akan mengikuti latihan untuk tempoh 66 bulan iaitu di bawah program ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Beliau menjelaskan, bagi baki GSTT berjumlah 3,465 orang itu, kedudukan mereka akan ditentukan kelak selepas disahkan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.

"Daripada jumlah ini mungkin ada di antara mereka yang masih berpeluang untuk dilantik semula atau dipilih mengikuti latihan perguruan selepas selesai semakan semula ke atas maklumat mereka.

"Bagi yang dikenal pasti tidak layak untuk dilantik semula, semakan ke atas rekod mereka dan pengesahan akan dibuat sebelum akhir Ogos ini,'' kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya berkata, penempatan bagi mereka yang dilantik semula itu tidak akan terhad kepada lokasi, sekolah atau pilihan asal.

Katanya, penempatan akan dibuat bagi memenuhi dan menyokong pelaksanaan dasar khususnya dasar baru kementerian seperti Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

"Kerajaan amat prihatin dengan segala keluh-kesah dan permasalahan GSTT, baik yang sering dibangkitkan di dada-dada akhbar dan media elektronik mahupun di setiap pertemuan bersama-sama guru-guru tersebut,'' kata Muhyiddin.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI