Tabung Pinjaman Pendidikan Perak Dibuka Hingga 14 Ogos

Thursday, August 04, 2011

Sebanyak 705 permohonan Tabung Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri (TPPTN) Perak telah diterima sejak ia dibuka pada 6 Julai lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Datuk Mohammad Zahir Khalid.

Beliau berkata bagi tahun ini TPPTN memperuntukkan sebanyak RM5 juta kepada calon yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di dalam dan luar negara.

"Daripada pecahan permohonan, 664 pemohon Melayu, 25 pemohon India dan 16 lagi pemohon Cina. Kita harap lebih ramai pemohon tampil membuat permohonan sebelum tarikh tutup pada 14 Ogos ini.

"Keistimewaan tabung ini, ia tiada sebarang faedah dan peminjam peringkat Sarjana Muda yang yang mendapat kelulusan ijazah kelas pertama berpeluang memohon untuk memohon pinjaman bolehubah," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Mohamad Zahir berkata penerima boleh memohon pinjaman bolehubah atau ditukarkan kepada biasiswa bergantung kepada penilaian Lembaga Kumpulan Wang Biasiswa Anak Perak.

Kriteria pemohonan TPPTN adalah anak-anak Perak ataupun pemastautin yang tinggal melebihi 10 tahun di negeri ini dan hendaklah berumur di antara 26 dan 41 tahun, bergantung kepada kursus yang dipohon.

Kadar pinjaman yang ditawarkan mengikut peringkat pengajian ialah RM5,000 setahun bagi peringkat Diploma, RM6,500 untuk Ijazah Sarjana Muda jurusan sains dan RM6,000 untuk jurusan sastera.

Bagi penuntut peringkat Sarjana, pinjaman yang ditawarkan sebanyak RM10,000 dan RM15,000 setahun bagi penuntut Doktor Falsafah.

Mohamad Zahir berkata bagi penuntut yang menerima tawaran jurusan pengajian Islam di Jordan, TPPTN memperuntukkan pinjaman sebanyak RM12,000 manakala penuntut jurusan yang sama di Mesir diberi RM6,000.

Pemohon boleh mendapatkan maklumat melalui laman web kerajaan negeri Perak di www.perak.gov.my dan permohonan juga boleh dihantar melalui dalam talian di http://epinjaman.perak.gov.my. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI