Kisah benar: Pelajar gay HIV cemerlang gelap masa depan

Isnin, Ogos 15, 2011

ADAM (bukan nama sebenar) merupakan ketua pelajar yang disegani rakan-rakan sebayanya. Sebagai pelajar cemerlang, Adam memang ‘ulat buku’ yang tidak lokek berkongsi ilmu dengan kawan-kawan. Justeru tidak hairanlah Adam berjaya memperoleh keputusan terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Tetapi, di rumah tidak ada majlis sambutan atau hadiah istimewa menyambut Adam. Keluarganya tidak sibuk-sibuk memaksa Adam memilih bidang atau institut pengajian tinggi (IPT) tempatan atau luar negara impiannya.

Sebaliknya, Adam terpaksa duduk makan sendirian, menggunakan pinggan, gelas, sudu dan garfu berasingan yang telah disediakan ibunya kononnya untuk mencegah sebarang penyebaran jangkitan kepada ahli keluarga lain.

“Sehingga ke hari ini, adik-beradik lain langsung tidak tahu tentang saya yang positif HIV. Hanya ibu dan bapa berkongsi rahsia ini dengan saya,” katanya yang dijangkiti HIV hampir setahun lalu.

Mengimbas kembali kejutan terbesar dalam kehidupan remajanya itu, Adam memberitahu, dia tidak mengalami sebarang simptom pelik, kecuali menghidap demam beberapa kali selepas menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.

“Saya tidak pula pergi ke hospital, sebaliknya hanya berjumpa doktor klinik swasta untuk mendapatkan pandangan pakar mengenai kesihatan saya,” ujar Adam. Katanya, dia tidak menjangka doktor tersebut mengajukan soalan-soalan peribadi tentang kehidupan sosial dan seksnya sebelum menasihati Adam agar menjalani ujian HIV.

Bermula hari itu, segala hasil usaha Adam selama ini hancur berkecai. Menyesalnya bukan kepalang kerana bukan sahaja tidak lagi layak menerima tajaan biasiswa disebabkan syarat kelayakan (pemohon harus bebas sebarang penyakit kronik termasuk HIV/AIDS) malah impiannya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan juga hancur.

Adam sedar bahawa cita-citanya terbengkalai di tengah jalan kerana salahnya sendiri. Walaupun hobi utamanya adalah membaca tetapi dia tidak pernah terfikir untuk mendalami HIV/AIDS dan memahami faktor jangkitan yang antaranya berpunca daripada gaya hidup berisiko tinggi atau seks rambang.

“Saya bukan jenis ‘clubbing’ dan bersosial tetapi kelemahan saya adalah laman sembang homoseksual di Internet. Tidak ada sesiapa pun yang tahu kecenderungan seks ini kecuali saya sendiri. Satu cara untuk melepaskannya adalah bersama orang-orang tidak dikenali,” jelas Adam tentang kehidupan ‘rahsia’nya sewaktu bersekolah menengah.

Menurut Adam, dia merasa cukup bernasib baik berbanding kebanyakan golongan yang menghidap HIV/AIDS kerana jumlah CD4 (sel darah putih yang menentang jangkitan) masih di paras normal dan tidak perlu bergantung kepada sebarang dos ubat mahupun rawatan pemulihan.

“Yang penting sekarang adalah mengikut nasihat doktor, mengamalkan hubungan seks selamat dengan penggunaan kondom bagi mengelak jangkitan kedua yang mungkin memudaratkan kesihatan saya.

“Siapa tahu, jika saya mampu benar-benar bebas HIV suatu hari nanti, mungkin saya dapat meneruskan impian saya untuk menjadi seorang doktor,” katanya mengakhiri perbualan.

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI