Felcra umum agihan dividen RM224.48 juta

Tuesday, August 23, 2011

Felcra Bhd mengumumkan pengagihan dividen berjumlah RM224.48 juta kepada 94,000 peserta pada minggu depan dengan purata RM3,000 seorang.

Agihan daripada jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM995.44 juta yang dicatatkan sehingga Jun 2011 itu merupakan peningkatan sebanyak 21.46 peratus berbanding jumlah agihan tempoh yang sama tahun lalu berjumlah RM184.82 juta.

"Pada tahun ini, Felcra menjangkakan sebanyak RM850 juta akan diagihkan kepada peserta iaitu peningkatan sebanyak 62.7 peratus berbanding RM522.41 juta pada tahun 2010," kata Pengerusinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

"Kami juga mensasarkan penjanaan pertumbuhan perolehan sebanyak 22.82 peratus kepada RM1.83 bilion berbanding RM1.49 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu," katanya kepada pemberita pada majlis pengisytiharan dividen peserta Felcra di sini, hari ini.

Beliau berkata, sasaran ini dibuat bersandarkan peningkatan trend harga komoditi di pasaran global.

"Sebagai contoh, sehingga kini, kelapa sawit mencatatkan harga purata sebanyak RM748.57 satu tan metrik berbanding RM547.00 satu tan metrik pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 36.85 peratus," kata Tajuddin.

Beliau berkata, begitu juga dengan purata harga getah yang menunjukkan peningkatan sebanyak 49.63 peratus kepada RM14.32 sekilogram pada tahun ini, berbanding hanya RM9.57 sekilogram pada 2010.

Mengenai rancangan pengembangannya di luar negara, Tajuddin berkata Felcra kini meninjau peluang di Kemboja. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI