Program Menarik Sempena Aidilfitri 2011,TV3, TV9

Wednesday, August 24, 2011

Pelbagai program Hari Raya bertemakan “Salam Syawal TV3 & Di Hatiku Ada Raya TV9”.

Lebih menarik, perayaan tahun ini juga turut dimeriahkan dengan program-program istimewa Merdeka sempena sambutan Hari Merdeka ke-54 yang jatuh pada Hari Raya Kedua iaitu 31 Ogos 2011.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, tradisi menyambut bulan Syawal masih diteruskan.

“Menerusi saluran televisyen yang sentiasa menjadi pilihan utama pada musim perayaan, TV3 tidak akan menghampakan jutaan penonton setianya dengan program-program menarik.

“Antaranya program majalah, muzikal dan variasi seperti Sampaikan Merdeka Raya, Melodi Raya, Fuhhh! Merdeka Raya, Mentor Raya, Raya Bapa Merdeka, 3 Gegaran, Sedetik Muzik, Kamilah Juara, Siapa Terhebat?, Di Bawah Rimbunan Madrasah dan Takbir Kembali sempena Hari Raya dan Hari Merdeka ini.

“Tidak ketinggalan juga drama-drama dan filem-filem hebat untuk tontonan semua seperti Cintaku 120KM/J, Sakura, Pusara Di Lebuh Raya, Janjiku Pada Al Walid, Nur Kasih The Movie, Adnan Sempit, Zoo dan banyak lagi,” katanya pada majlis salam Syawal TV3 & Di Hatiku Ada Raya TV9 di Pusat Membeli Belah 1 Utama di sini baru-baru ini.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan personaliti TV3 dan TV9 serta artis-artis popular tanah air seperti Jamal Abdilah, Hujan, Aizat, Sazzy Falak, Nazril Idrus, Razak Ahmad, Zarina Zainoordin, Sharifah Shahira, Syazwan Zulkifli, Nazim Othman, Amanda Misbun, Nasrizal Ngasri, Fimie Don dan Erin Malek.

Selain itu, My TV3 dan Kawan 9 (K9) juga tidak ketinggalan untuk mengagihkan cenderamata yang mengandungi sampul Hari Raya dan biskut raya kepada orang ramai yang mahu pulang ke kampung di plaza-plaza tol pada minggu hadapan.

Lebih istimewa, biskut-biskut raya tersebut akan dihasilkan atas kerjasama 15 orang selebriti dan lebih kurang 300 orang peserta di acara “Uli Uli Biskut Raya Bersama Julie’s” dengan kerjasama TV3 dan TV9 pada 21 Ogos 2011 di kilang biskut Julie’s, Alor Gajah, Melaka.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI