Skim cepat kaya: pengarah syarikat Mercantile Point Sdn Bhd didenda

Thursday, August 18, 2011

Dua pengarah syarikat Mercantile Point Sdn Bhd masing-masing dihukum penjara dua tahun serta denda RM3 juta dan RM5 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengikut Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Syarikat itu yang menjalankan perniagaan skim cepat kaya milik Rusdie Ganning, 51, dan Hariyah Yaacob, 54, turut dikenakan denda RM3 juta bagi pertuduhan mengikut BAFIA.

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan yang diwakili peguam Mohd Hairani Samsi gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Bagi pertuduhan BAFIA, Rusdie, Hariyah dan syarikat itu masing-masing didakwa menerima deposit hampir RM117 juta daripada pendeposit tanpa lesen sah di antara 24 April 2007 dan 2 April 2008, di Unit 5.1, Unit 5.2 dan Unit 5.7, Aras 5, Wisma UOA II, 21, Jalan Pinang di sini.

Bagi kesalahan itu, Rusdie dihukum penjara dua tahun dan denda RM1.5 juta, manakala Hariyah dihukum penjara dua tahun dan denda RM2 juta.

Bagi kesalahan mengikut AMLAFTA, Rusdie didakwa terhadap 11 pertuduhan manakala Hariyah menghadapi 18 pertuduhan mengguna, memindahkan dan memiliki wang hasil aktiviti haram sebanyak RM32.5 juta sepanjang 2007 dan 2008.

Bagi kesalahan itu, Rusdie dihukum penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan dan didenda RM1.9 juta, yang jika gagal dibayar Rusdie boleh menyebabkannya dipenjara 18 bulan.

Hariyah, yang merupakan ibu tunggal, turut dikenakan hukuman penjara yang sama dengan Rusdie bagi setiap pertuduhan dan denda sebanyak RM3.7 juta, dan sekiranya gagal membayar denda itu, dia boleh dipenjara 18 bulan. – Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI