Ragam Manusia: Pengemis di Jakarta dilarang bawa anak

Monday, August 08, 2011

Pengemis jalanan di Indonesia bakal berhadapan dengan hukuman 10 tahun penjara seandainya mereka didapati bersalah membawa anak kecil ketika meminta sedekah.

Selain daripada hukuman penjara, pengemis jalanan yang didapati bersalah juga boleh dikenakan denda sebanyak Rupiah 200 juta (RM70,000).


Menurut jurucakap bahagian perhubungan awam Polis Daerah Metro Jaya, Baharuddin Djafar, tindakan tegas itu dilaksanakan dalam usaha untuk membasmi masalah pengemis jalanan di Indonesia.

Katanya, pengemis jalanan yang mengusung anak kecil akan dikenakan tindakan kerana perbuatan tersebut dikategorikan sebagai eksploitasi.

"Pengemis yang didapati bersalah mengusung anak-anak semasa mengemis akan dikenakan hukuman 10 tahun penjara atau denda Rupiah 200 juta (RM70,0000)," katanya kepada akhbar Republika hari ini.

Tindakan tegas yang bakal dikenakan ke atas pengemis kata Baharuddin, menepati Undang-Undang Perlindungan Anak 2002 seperti yang ditetapkan pihak berkuasa.

Jumlah pengemis di seluruh Indonesia mencatat angka hampir 10 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk negara itu.

Seramai 201,140 pengemis mencari rezeki dengan meminta sedekah di jalan raya. Daripada jumlah itu, seramai 1,990 direkodkan di Jakarta.

Akhbar itu turut melaporkan, berdasarkan data Kementerian Sosial, pada tahun lalu, jumlah anak jalanan yang menjadi pengemis mencecah 12,000 orang.

Awal tahun ini, Kementerian Sosial Indonesia menemui seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang berasal dari Palembang dipaksa mengemis di Jakarta selama dua minggu.

Rekod polis mendapati, kanak-kanak itu telah diculik dan dijadikan pengemis.

Isu pengemis jalanan merupakan masalah sosial yang tidak pernah berakhir di Indonesia.

Bahkan, mengemis dijadikan sebagai perniagaan yang menawarkan pendapatan lumayan bagi segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

Seandainya anda memandu di bandar raya Jakarta, anda dengan mudah menemui anak-anak kecil yang diusung untuk mengemis dan meminta simpati daripada orang ramai. - Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI