Pengguna keluar masuk Singapura dikena tol di Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (KIK)

Tuesday, December 06, 2011

Pngguna keluar dan masuk dari Singapura melalui Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, akan dikenakan bayaran tol berikutan pembukaan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL), Januari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) Datuk Mohamed Razeek Hussain berkata kadar tol yang akan dikenakan itu bagaimanapun belum diputuskan dan akan ditentukan kabinet sebelum diumumkan kepada pengguna.

"Kaunter tol menggunakan kad Touch 'n Go itu terletak dalam KIK. Pengguna masih lagi dikecualikan tol untuk sepanjang tempoh percubaan EDL pada Januari ini sehingga ia diumumkan kelak," katanya kepada pemberita pada taklimat media mengenai EDL, di sini, hari ini.

Beliau berkata hanya pengguna keluar dan masuk dari Singapura dikenakan bayaran tol manakala pengguna EDL yang tidak memasuki negara jiran terutama penduduk bandar raya ini yang ingin ke pusat bandar atau keluar menerusi susur Bakar Batu tidak perlu membayar sebarang tol.


Katanya lebuh raya sepanjang 8.1 kilometer dengan kos pembinaan RM977 juta itu memanfaatkan penduduk bandar raya ini kerana menjimatkan masa dan menyelesaikan masalah kesesakan jalan terutama di Jalan Tebrau dan Jalan Pandan.



Katanya kira-kira 60,000 kenderaan termasuk kereta, lori dan bas serta 70,000 penunggang motosikal dijangkakan menggunakan kemudahan EDL setiap hari apabila dibuka kelak.

EDL yang dimulakan pada 2007 oleh MRCB menerusi anak syarikat milik penuhnya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd (MLSSB) itu mempunyai tiga lorong bagi kedua-dua hala dan akan menjadi laluan penting bagi menghubungkan Jalan Lingkaran Dalam, KIK, Jalan Tebrau, Jalan Pandan dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di persimpangan Pandan.

Dengan kelajuan 90kmj pengguna EDL akan mengambil masa kurang dari 10 minit untuk perjalanan di antara persimpangan Pandan dan KIK.

Struktur lebuh raya yang mempunyai laluan bertingkat sepanjang 4.4 kilometer dan 3.7 kilometer atas tanah itu akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau pergerakan dan memastikan keselamatan kenderaan di sepanjang lebuh raya tersebut.

Lebuh raya itu juga dilengkapi Sistem Pengenalan Nombor Pendaftaran Kenderaan Automatik untuk membolehkan ia dipantau dari segi pergerakan dan had laju kenderaan.

Kemudahan lain yang turut disediakan di lebuh raya terbabit termasuk bilik solat, kawasan rehat dan rekreasi, stesen minyak dan mesin isian semula kad Touch 'n Go. - Bernama

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI