Golongan Muda Terdedah Risiko Serangan Jantung

Wednesday, December 07, 2011

Golongan muda juga tidak terkecuali daripada menghidapi penyakit kardiovaskular atau serangan jantung ekoran gaya hidup yang tidak sihat, kata pakar jantung Dr Annuar Rapaee.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pakar jantung lebih 10 tahun di Hospital Serdang, Selangor dan Pusat Perubatan Tropicana, Damansara berkata walaupun penyakit ini sering menyerang seseorang yang berumur lebih 40 tahun, tetapi golongan muda juga merupakan antara yang berisiko diserang penyakit senyap ini.

Darah tinggi dan diabetes merupakan antara penyumbang kepada serangan jantung selain merokok, katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka (Sibu) ketika menyampaikan ceramah tentang penyakit tersebut di Wisma Bernama di sini, Selasa.

Beliau menjelaskan dari pengalamannya, seorang pesakit berusia 26 tahun pernah dikenal pasti mengidap penyakit jantung yang agak kritikal kerana dipercayai menghisap rokok lebih daripada 20 batang sehari.

"Sebatang rokok mempunyai 4,000 bahan toksid yang bukan sahaja menjadi penyebab sakit jantung tetapi juga risiko penyakit kanser, yang perbuatan merokok bukan sahaja memberi kesan kepada perokok tersebut malah kepada orang di sekelilingnya," katanya.

Sehubungan itu Dr Annuar menasihati perokok supaya menghentikan tabiat tersebut kerana nikotin di dalam rokok boleh menyebabkan bekalan oksigen ke jantung berkurangan, tekanan dan kepekatan darah meningkat di samping merosakkan sel yang melindungi saluran darah.

Beliau berkata, antara gejala serangan sakit jantung ialah pesakit mengalami sakit pada dada, sukar bernafas, kesakitan gigi dan sering merasa berdebar-debar.

"Ujian saringan sangat penting bagi mengenal pasti penyakit kardiovaskular kerana ia kadang kala tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala," katanya.-BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI