Sijil Halal JAIJ mulai 2012 - Jabatan Agama Islam Johor

Sabtu, Disember 03, 2011

Mulai 2012, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) akan memproses permohonan mendapatkan sijil halal daripada pengusaha produk makanan dan pembuatan.

Pengarah JAIJ, Elias Hasran berkata, langkah itu bukan sahaja dapat mempercepatkan kelulusan sesuatu permohonan tetapi membolehkan jabatannya mengenalpasti sesuatu jenis produk halal yang wajar diberikan sijil itu.

"Kami juga akan bekerjsama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk menggunakan kaedah e-halal bagi memudahkan proses pengeluaran sijil halal itu,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika merasmikan Karnival Kepenggunaan dan Tranformasi Halal sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Johor di Dataran Tanjung Emas, Muar, semalam.

Elias berkata, kerajaan negeri amat serius dalam menentukan sesuatu jenis makanan yang menggunakan tanda halal bagi memastikan ia benar-benar bebas daripada bahan yang tidak halal.

Mengenai karnival itu, beliau berkata ia akan diteruskan sebagai usaha menyedarkan masyarakat Islam tentang pentingnya memastikan produk yang dimakan dan diguna seharian benar-benar daripada sumber halal.

Karnival pertama yang pernah diadakan sebelum ini berjaya menarik minat lebih 200,000 pengguna dalam tempoh tiga hari, katanya. — Bernama

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI