Barometer rasuah di Malaysia bertambah baik -Kajian Transparency International (TI)

Friday, December 02, 2011

Kajian Transparency International (TI) mendapati barometer rasuah (CB) di Malaysia meningkat baik daripada 48 kepada 49 peratus tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai rasuah bagaimanapun berkata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) TI menurun daripada 4.4 tahun lepas kepada 4.3 tahun ini.

"Keputusan yang bercampur-campur ini menunjukkan lebih banyak usaha terhadap rasuah perlu dilakukan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Kuala Lumpur semalam.

Mohamed Nazri berkata CB membuat kajian bebas terhadap pandangan dan pengalaman orang ramai di Malaysia mengenai rasuah dan hasil kajian yang diperolehi adalah mengalakan di mana 49 peratus rakyat melihat usaha kerajaan memerangi rasuah sebagai berkesan.

Katanya, ini adalah pembaikan terhadap hasil yang diperolehi iaitu melepasi 48 peratus kedudukan tahun lepas.

"Ini membuktikan pembinaan usaha dibuat pada 2009 dan 2010 mula tertumpu pada isu rasuah kecilan yang memberi kesan terhadap orang awam dalam kehidupan seharian mereka. "Sesetengah daripada usaha tersebut adalah melalui Asas Data Nama dan Perasaan Malu yang bertindak sebagai pencegahan kepada pesalah rasuah, Akta Perlindungan Peniup Wisel, dan pembentukan unit-unit pematuhan di bawah lima agensi utama penguatkuasa,” kata Mohamed Nazri.

Beliau berkata bagi CPI di Malaysia yang menurun daripada 4.4 kepada 4.3 tahun ini, telah meletakkan negara pada kedudukan ke 60 berbanding 56 pada tahun sebelumnya.

"Ia menggunakan data daripada 12 kajian mengikut Panduan Khidmat Risiko Politik Negara, Indeks Peraturan Undang-Undang Projek Mahkamah Dunia dan Indeks Suapan-Pembayar Transparency International (TI-BPI) yang dimasukkan sebagai bahan baru di tahun 2011,” katanya.

Menurut beliau, BPI oleh TI itu dijalankan hanya di 28 buah negara dan ia pertama kali diperkenalkan dalam CPI.

Mohamed Nazri berkata BPI itu adalah satu kajian baru yang dibuat untuk mengukur kecenderungan rakyat Malaysia memberi suapan kepada pihak-pihak lain di luar negara.

"Sekiranya ini tidak diambil kira, kedudukan Malaysia akan melompat kepada 4.5 dan negara akan kekal di tempat ke 56, “ katanya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dalam kenyataan yang sama berkata usaha sudah pun dimulakan mencegah rasuah besar di mana SPRM sudah memulakan satu program transformasi.

Antara lain, katanya, program tersebut bertujuan mengukuhkan lagi keupayaan SPRM melalui siasatan forensik.

"SPRM sebenarnya telah memulakan program transformasi yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di seluruh institusi yang tujuannya antara lain memperbaiki usaha forensik dalam mengendalikan kes-kes yang rumit.

"SPRM perlu bekerjasama dengan semua agensi penguatkuasa dan badan-badan pendakwaan dalam mengendali isu rasuah dari sudut penguatkuasaan,” kata Abu Kassim.

— BERNAMA

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI