Pembantu Rumah Indonesia Mulai Mac 2012

Jumaat, Disember 02, 2011

Indonesia dengan rasmi menarik balik moratorium penghantaran pembantu rumah ke Malaysia namun menyatakan ia memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum dapat mengirim kumpulan pekerja pertama ke Malaysia.

Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi, Muhaimin Iskandar ketika mengumumkan penarikan balik pembekuan sementara itu, berkata tempoh masa itu diperlukan untuk menyelesaikan semua proses berkaitan penghantaran pekerja di sektor tidak formal itu ke Malaysia.

"Hari ini secara rasmi Kerajaan Indonesia menarik balik moratorium penempatan tenaga kerja Indonesia sektor domestik ke Malaysia. Namun masih diperlukan waktu...mereka hanya dapat dihantar mulai awal Mac 2012 ke Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Muhaimin berkata, urusan penempatan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia itu akan diserahkan sepenuhnya kepada agensi pekerjaan iaitu pelaksana penempatan tenaga kerja Indonesia swasta (PPTKIS).

Jangka waktu selama tiga bulan itu adalah untuk membolehkan PPTKIS menyediakan calon, mulai dari mendapatkan pesanan kerja, pengambilan dan latihan 200 jam, menguruskan dokumen rasmi sesuai dengan peraturan dan proses penghantaran mereka ke Malaysia.

Muhaimin berkata, kerajaan Indonesia akan memantau secara ketat semua proses itu dan tidak akan teragak-agak menarik balik lesen operasi mana-mana agensi pekerjaan yang didapati melanggar peraturan. Terdapat 117 PPTKIS setakat ini. Menteri itu menjelaskan bahawa mengikut peraturan, ada 15 tahap dalam proses penempatan pembantu rumah itu yang wajib dilakukan oleh pekerja dan agensi pekerjaan, termasuk surat izin pengerahan dikeluarkan oleh kementerian beliau.

"Selanjutnya ialah proses rekrut calon selama tiga minggu, persiapan dokumen calon (satu minggu), pemeriksaan perubatan (dua hari), latihan 200 jam (tiga-empat minggu), pengurusan pasport (satu minggu), pengiriman dokumen biodata calon ke agensi Malaysia (tiga hari) dan pencarian majikan (satu bulan)," katanya.

Seterusnya antara proses lain ialah pengurusan imigresen dan penerbitan calling visa dari Malaysia dan penerbitan perjanjian kerja yang disahkan Kedutaan Besar Indonesia. -BERNAMA

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI