Statistik HIV 9 bulan pertama 2011

Saturday, December 10, 2011

Sebanyak 2,465 kes jangkitan HIV baru dicatatkan bagi sembilan bulan pertama tahun ini dengan 1,958 adalah golongan lelaki, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, penyumbang utama jangkitan HIV dan AIDS di negara ini adalah perkongsian jarum suntikan tercemar kuman HIV, hubungan seksual dengan mereka yang dijangkiti, hubungan seks bebas dan jangkitan kepada anak melalui ibu yang menghidap HIV.

Secara keseluruhannya, sejak 1986 hingga September tahun ini, 93,827 kes jangkitan HIV dikesan di negara ini, katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Rosnah berkata, melalui langkah pencegahan secara menyeluruh itu, kerajaan berjaya mengurangkan kes baru jangkitan HIV secara signifikan.

Katanya, mulai 2003, kes jangkitan HIV baru menurun kepada 6,756 kes dan penurunan terus berlaku secara konsisten.

Pada tahun lepas, sejumlah 3,652 kes baru HIV dikesan dengan kadar 12.6 peratus bagi setiap 100,000 penduduk.

Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan kadar kejadian kes baru HIV kepada 11 kes bagi setiap 100,000 penduduk menjelang 2015, katanya. — Bernama

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI