Imam Besar Masjid Negara Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2015

Sunday, January 04, 2015

Imam Besar Masjid Negara Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dipilih sebagai Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Masjid Putra

Dengan penganugerahan tersebut, anak kelahiran Dungun, Terengganu itu menerima RM50,000, trofi dan sijil.
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika ditemui, Syaikh Ismail menganggap penganugerahan itu sebagai ‘husnul khatimah’ atau pengakhiran yang baik ketika umurnya yang kini telah mencecah 71 tahun.

“Ini penghormatan paling tinggi sepanjang saya berkecimpung sebagai seorang imam dan guru al-Quran hampir 30 tahun,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Bidang Qiraat dan Ulum Quran dari Maahad al-Qiraat, Shubra, Mesir.

Sementara itu, penerima Anugerah Maulidur Rasul, Prof. Madya. Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail pula berkata, anugerah itu suatu pengiktirafan terhadap golongan wanita Islam di Malaysia.

Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) itu berkata, ia sekali gus menepis tohmahan yang mendakwa Islam menafikan hak wanita untuk berjaya dalam segala bidang.

Selain Syarifah Hayaati, sembilan lagi menerima Anugerah Maulidur Rasul termasuk bekas anggota kumpulan nasyid Raihan, Nazrey Johani yang kini giat membangunkan sebuah pusat pengajian Islam di Ranau, Sabah.

Nazrey yang merupakan seorang mualaf memberitahu, usahanya itu bertujuan memperkukuhkan ajaran agama dalam kalangan umat Islam di pedalaman Sabah selain menyebar syiar Islam di negeri tersebut.

Dalam pada itu, atlet paralimpik, Mohammad Azlan Mat Lazin yang pernah merangkul tiga pingat emas ketika temasya Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas penganugerahan itu kerana merupakan penghormatan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Penerima lain termasuk Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kolonel Mohd. Sakri Hussin; Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor; Ahli Jawatankuasa Panel Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Saleh Ahmad; bekas Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Mahamud Abdul dan pendakwah bebas, Muhamad Abdullah.
\
Masing-masing menerima RM20,000, trofi dan sijil yang juga disampaikan oleh Muhyiddin.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI