Apa maksud komitmen RM1 juta kerajaan kepada 1MDB? - Khairuddin

Friday, January 23, 2015

Apa maksud komitmen RM1 juta kerajaan kepada 1MDB? - Khairuddin

Kerajaan diminta menjelaskan serta butiran kepada rakyat mengenai kenyataan komitmen berbentuk saham bernilai RM1 juta untuk syarikat pembangunan strategik milik penuhnya, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kenyataan itu disifatkan tidak bijak sekali gus cuba menutup kelemahan kerajaan kepada rakyat.

"Bagaimana dengan jaminan hutang kerajaan terhadap 1MDB? Bagaimana dengan tanah-tanah yang kerajaan berikan kepada 1MDB?

"Apa sebenarnya maksud kerajaan terhadap kenyataan semalam? Rakyat mahu tahu semua itu," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, kerajaan hanya membuat komitmen berbentuk saham sebanyak RM1 juta untuk 1MDB dan kini memberi aset bernilai RM50 bilion.

Ia ditambah kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang memaklumkan, keputusan penuh tahunan untuk 12 bulan 1MDB yang berakhir pada 31 Mac tahun lepas membuktikan tahun yang produktif untuk kumpulan di mana ia memperoleh beberapa aset tenaga dan hartanah berkualiti tinggi untuk portfolionya yang semakin berkembang.

Dalam pada itu jelas Khairuddin, kelantangannya sebelum ini adalah perjuangan ikhlas yang harus diikut semua.

"Saya tidak pernah mengambil kesempatan dari perjuangan menyelamatkan negara.

"Ini usaha menentang penyelewengan dan dan menutup kemungkaran sudah tidak lagi relevan kini. Perjuangan melawan kemungkaran tidak harus memilih 'bulu'," jelasnya.

Khairuddin sebelum ini membuat laporan polis dan meminta siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca masalah kepincangan pentadbiran kewangan yang dihadapi syarikat tersebut.

Tindakan Khairuddin dilihat turut mendapat sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang turut menyatakan tidak berpuashati dengan penjelasan yang dibuat 1MDB berkaitan pelaburan sebanyak RM8.3 bilion yang dilaburkan di Kepulauan Cayman.

Dr Mahathir berkata penjelasan yang diberikan oleh 1MDB bahawa pelaburan tersebut telah diperolehi semula tidak memberi apa-apa pencerahan.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberi jaminan akan bertindak secara telus dan profesional dalam isu melibatkan 1MDB selaras dengan Akta SPRM 2009.

~ Awani

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI