Malaysia tunjuk taring, belasah Oman 7-0 (Pusingan Kedua Kejohanan Liga Hoki Dunia 2015)

Tuesday, January 20, 2015

Malaysia tunjuk taring, belasah Oman 7-0

Skuad Malaysia meneruskan rentak cemerlang pada Pusingan Kedua Kejohanan Liga Hoki Dunia 2015 apabila membelasah Oman 7-0 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Hoki Sengkang, di sini pada Isnin.

Kemenangan kedua berturut-turut itu meletakkan skuad negara di kedudukan teratas kumpulan dengan enam mata, diikuti Oman tiga mata, manakala Ukraine di tempat ketiga juga tiga mata sementara Singapura yang gagal mengutip sebarang mata setakat ini, di kedudukan keempat.

Dalam saingan hari ini, Muhammad Razie Abdul Rahim membuka jaringan pada minit ketujuh, diikuti Faizal Saari (minit ke-17, 38), Marhan Abdul Jalil (ke-22, 27), Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (ke-44) dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (ke-46).

Walaupun mencatat kemenangan besar, jurulatih negara Tai Beng Hai berkata kutipan mata adalah lebih penting berbanding jumlah gol yang dijaringkan.

"Saya rasa apa yang paling penting dapat kumpul tiga mata penuh. Matlamat utama kita mara ke separuh akhir dan seterusnya ke final.

"Bagi saya, tidak guna jaringkan banyak gol tetapi tidak berupaya menamatkan kejohanan ini dengan persembahan terbaik," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beng Hai berkata anak buahnya telah mempamerkan corak permainan lebih kemas berbanding ketika perlawanan pertama menentang Ukraine, Sabtu lepas.

Mengenai pertemuan berdepan Singapura esok, Beng Hai berkata pasukan tuan rumah itu sudah menampilkan peningkatan dari segi corak permainan mereka.

Justeru, beliau berkata Malaysia tidak boleh memandang rendah kemampuan yang bakal dipamerkan Singapura walaupun pasukan berkenaan tewas dua kali dalam perlawanan sebelum ini.
 

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI