Raja baru Arab Saudi, Raja Salman AbdulAziz

Friday, January 23, 2015

Raja baru Arab Saudi,Raja Salman AbdulAziz

Raja baru Arab Saudi, Salman AbdulAziz Al Saud adalah antara pemimpin veteran tertinggi Arab Saudi, berkepakaran dalam urusan diplomasi sejak menjadi Gabenor Riyadh hampir 50 tahun.

Salman, 79, sudah mula memangku tugas Raja sejak setahun lalu iaitu selepas kesihatan Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud dilaporkan mula menyusut.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan sejak 2011 serta ketua tentera Arab Saudi ketika negara itu menyertai Amerika Syarikat (AS) dan negara Arab lain menjalankan serangan udara bagi mengekang penguasaan militan di Syria, tahun lalu.

Salman juga diketahui umum mempunyai hubungan yang baik dan berpengaruh dalam kalangan suku kaumnya di Arab Saudi.

Pengaruhnya juga diperluas lagi melalui rangkaian perniagaan keluarga, termasuk pegangan sahamnya dalam akhbar Pan-Arab Asharq Al-Awsat.

Raja Salman AbdulAziz

Pada usia mudanya, Salman sudah dipilih menjadi Gabenor Riyadh bermula 1963.

Dalam tempoh 48 tahun menjadi gabenor itu, beliau berjaya melakukan transformasi ke atas bandar terbabit dari sebuah bandar padang pasir terpencil menjadi wilayah sesak dengan bangunan pencakar langit, universiti serta pelbagai rantaian makanan segera Barat.

Salman juga dilihat berjuang dalam memenuhi kehendak rakyat negara itu dengan memperkenalkan pembinaan perumahan mampu miliki serta pengangkutan awam mencukupi untuk empat juta rakyatnya.

Jawatan gabenor itu menjadikan beliau terkenal di peringkat antarabangsa. Beliau juga antara pemimpin yang lantang bersuara dalam menentang pergerakan puak militan di seluruh dunia.

Malah, beliau pernah menyatakan kepada AS bahawa kestabilan di negara timur tengah akan dapat dicapai dengan menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Anak beliau kini turut memegang jawatan penting dalam negara itu. Putera Abdulaziz adalah Timbalan Menteri Minyak; Putera Faisal, gabenor Madinah dan Putera Sultan, angkasawan Arab pertama serta ketua kepada pihak berkuasa pelancongan negara itu. -AP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI