Bantuan Khas utk keluarga atlet paralimpik negara, Allahyarham Mohammad Azlan Mat Lazim

Sunday, January 25, 2015

Bantuan Khas utk keluarga atlet paralimpik negara

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi bantuan khas termasuk kewangan kepada keluarga atlet paralimpik negara, Allahyarham Mohammad Azlan Mat Lazim yang maut dalam kemalangan jalan raya di Serdang Raya, di sini tengah hari Sabtu.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menguruskan segala bantuan yang sepatutnya kepada keluarga Allahyarham termasuk urusan pengebumian.

"Kita ada (skim) khairat kematian yang akan kita sampaikan kepada keluarga Allahyarham. Insentif khas Sukan Para Asia 2014 juga akan diserahkan kepada keluarga Allahyarham.

"Saya sendiri akan beri sumbangan peribadi (kepada keluarga Allahyarham)," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat jenazah Mohammad Azlan di Hospital Serdang, di sini, Sabtu.


Untuk rekod, Allahyarham memenangi tiga pingat emas menerusi acara 100 meter lelaki, 200 meter lelaki dan 400 meter lelaki dalam kategori kecacatan T38 pada Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Mohammad Azlan, 25, yang menunggang motosikal jenis Yahama 125 bersama pembonceng, Farisan Jasna, 26, atlet lompat jauh paralimpik negara, dipercayai dilanggar oleh sebuah van jenis Toyota Hiace dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun, ketika ingin menjamu selera di salah sebuah restoran di sini.

Kejadian kira-kira 1.45 tengah hari itu menyebabkan Mohammad Azlan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Farisan mengalami keretakan di tangan kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Serdang.

Dalam pada itu, Khairy menyifatkan arwah sebagai idola sukan paralimpik kerana sentiasa mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa selain menjadi kebanggaan ibu bapanya dalam memberi kehidupan yang lebih baik kepada mereka.

"Beliau dimasukkan ke dalam program Paralimpik MSN pada 2012 dan dikenal pasti sebagai bintang harapan yang sedang dilatih untuk kejohanan dunia tahun ini dan Sukan Paralimpik 2016 di Rio De Janeiro (Brazil).

"Beliau seorang (atlet) yang hebat dan mempunyai masa depan yang cerah.

Beliau mempunyai perwatakan yang ceria dan sentiasa tersenyum dan seorang yang pemurah hati," kata Khairy.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail memberi jaminan bahawa pihaknya akan menguruskan segala bantuan kepada keluarga Allahyarham yang tergolong dalam keluarga berpendapatan rendah.

"Kita berasa sedih kerana beliau merupakan salah seorang ikon (sukan paralimpik). Beliau sepatutnya ada program bersama atlet paralimpik yang baharu bagi berkongsi resepi kejayaannya.

"Ini satu perkara yang mengejutkan dan menyedihkan bagi MSN dan Allahyarham Mohammad Azlan merupakan salah seorang prospek dalam Program Road to Rio 2016," kata Ahmad Shapawi.

Jenazah Allahyarham Mohammad Azlan akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Batu 3, Jalan Air Putih, Kemaman, Terengganu pada malam ini.

Selain meraih tiga pingat emas pada Sukan Para Asia 2014, Mohammad Azlan turut memenangi dua emas dalam acara 100m dan 200m kategori T36 pada Sukan Para Asean 2014 di Naypyitaw, Myanmar.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI