Artis menagih dadah cemar industri hiburan

Monday, January 26, 2015

(Rencana) Penagih glamor 'buat perangai' cemar industri hiburan 

Berada dalam sebuah industri yang sukar, selain menerima pelbagai tekanan untuk memastikan kelangsungan hayat sebagai penghibur masyarakat, membuatkan sebilangan kecil selebriti berpaling kepada dadah dalam mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi mereka.

Selebriti dan dadah bukan lagi isu baharu kepada pengikut industri hiburan tempatan, malah peminat juga barangkali sudah lali apabila disajikan dengan berita penahanan beberapa artis tempatan, sebahagian besarnya memiliki reputasi membanggakan pada mata khalayak.

Dalam sebuah laporan, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang lapan tahun lalu merekodkan lebih 20 tangkapan selebriti, termasuk penyanyi berkumpulan dan solo, pelawak, pelakon dan pengacara yang mana kesemua mereka berketurunan Melayu.

Selepas dikejutkan dengan berita penahanan bekas vokalis Exists, Ezad pada 20 November lalu, peminat sekali lagi terpaksa menelan kenyataan pahit apabila bekas vokalis Slam, Zamani Ibrahim, turut berdepan masalah sama.

Polis rampas dadah

Penyanyi berusia 44 tahun itu ditahan bersama seorang wanita di sebuah rumah di Taman Keramat, Ampang, Rabu lalu dan ketika serbuan, polis merampas satu paket dadah disyaki heroin seberat 1.2 gram.

Ujian air kencing mendapati artis lelaki itu positif dadah jenis morfin dan mengakui, menagih dadah jenis syabu serta heroin sejak 10 tahun lalu dan mendapat bekalan daripada seorang pengedar di sekitar Hulu Klang.

Mengapa penyalahgunaan dadah terus menjadi nanah yang merosakkan reputasi industri hiburan? Apakah mungkin kerana populariti atau status yang memberi mereka imuniti terhadap pandangan serong masyarakat, membuatkan mereka bebas melakukan apa saja atas tiket selebriti?

Apabila terlalu banyak paparan kisah selebriti yang diberkas kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah, ia tidak lagi mengundang kejutan kepada peminat kerana menganggap itu adalah sebahagian cara hidup mereka.

Bahkan, kegilaan atau ketagihan terhadap 'sesuatu yang melanggar norma hidup manusia' menjadi sebahagian pakej yang melengkapi perjalanan hidup seorang selebriti atau barangkali tabiat aneh itu juga yang menyerlahkan keunikan mereka pada mata khalayak.

Meniti hidup sebagai selebriti tidak mudah kerana terlalu banyak isu dan tekanan yang terpaksa ditangani. Ia merangkumi hal berkaitan urusan seharian membabitkan kontrak, bayaran, media serta persepsi umum yang mendesak selebriti untuk mencari jalan mudah membebaskan fikiran mereka daripada memikirkan perkara remeh.

Kealpaan terhadap kemasyhuran juga menjadi faktor mengapa segelintir selebriti berpaling kepada dadah. Ia mungkin memberi kejutan kepada artis baharu dan secara tidak langsung, lambat laun akan mempengaruhi mereka untuk turut serta apabila dikelilingi oleh 'penagih glamor'.

Dikaitkan sebagai gaya hidup selebriti apabila dadah dikatakan dapat menghilangkan perasaan gemuruh, malah menjadi pemacu untuk memantapkan lagi kemunculan mereka pada mata khalayak, namun apa juga alasan, ia tetap memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Sering dijadikan ikon oleh peminat, pembabitan artis dalam gejala sosial memberikan implikasi negatif terhadap psikologi, persepsi dan perlakuan anggota masyarakat, terutama penggemar yang masih mentah dalam menilai antara baik dan buruk.

Artis dianggap sebagai fenomena sosial yang mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi peminat menerusi tindak-tanduk mereka, harus menyemai nilai positif dalam gaya hidup supaya masyarakat tidak lagi melihat industri hiburan sebagai medan 'membuat perangai'.

Bina semula reputasi atas bakat


Meskipun tidak semua artis yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah gagal dalam membina kerjaya mereka, lihat bagaimana Datuk Jamal Abdillah membina semula reputasi atas kekuatan bakatnya, namun kesedaran perlu hadir dalam diri jika selebriti ingin diri mereka dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Ketika peminat hiburan bersimpati dengan nasib malang yang terpaksa ditelan insan bergelar selebriti, masyarakat juga harus menanam keyakinan dalam diri tiada siapa yang mampu mengubah nasib seseorang kecuali manusia itu sendiri. Barangkali sudah tiba masa untuk peminat menjadi lebih selektif dan berhati-hati ketika memberikan sokongan kepada artis.

Berbakat besar bukan bermakna hebat, disanjung bukan bererti yang terbaik. Tepuk dada tanya selera kerana pilihan terbaik di tangan sendiri.

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI