Bonus Tabung Haji tertinggi sejak 51 tahun

Friday, January 23, 2015

Pengagihan bonus Tabung Haji bagi tahun kewangan 2014

Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pengagihan bonus tahunan bagi tahun kewangan 2014 sebanyak 6.25 peratus, pembayaran tertinggi sejak 51 tahun penubuhannya.

Malah, 7.4 juta pendeposit menerima tambahan bonus haji dua peratus bagi mencukupkan baki purata bayaran haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Baharom berkata, pembayaran kedua-dua bonus berkenaan RM3.2 bilion, meningkat 23 peratus berbanding 2013.

“Ini adalah pembayaran bonus tertinggi sejak penubuhan TH dan dibuat berdasarkan keuntungan bersih RM3.3 bilion selepas pembayaran zakat.

“Ia juga adalah peningkatan 24 peratus berbanding RM2.6 bilion yang dicatatkan pada 2013,” katanya selepas pengumuman yang diadakan di sini, semalam.

Menurutnya, prestasi yang ditunjukkan itu peningkatan lima kali ganda keuntungan yang dicatatkan pada 2006.

“Ia juga menghasilkan nilai tambah RM15 bilion kepada dana pendeposit dalam tempoh sembilan tahun dengan dana terkumpul berjumlah RM51.1 bilion, meningkat 12 peratus berbanding 2013,” katanya.

Jamil berkata, bonus tambahan dua peratus dapat dimanfaatkan 7.4 juta pendeposit daripada jumlah keseluruhan lapan juta pendeposit yang belum menunaikan haji.

“Kira-kira 86 peratus daripada jumlah keseluruhan pendeposit mempunyai baki purata simpanan akaun kurang daripada bayaran haji RM9,980 manakala, 600,000 pendeposit mempunyai baki simpanan melebihi bayaran berkenaan.

“Pembayaran bonus tambahan dua peratus menyaksikan lebih ramai pendeposit memiliki jumlah akaun simpanan melebihi had kelayakan bayaran menunaikan haji,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya giat menjalankan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi memohon penambahan kuota jemaah haji tahun ini.

“Kuota jemaah bagi tahun ini kekal 22,320 orang namun, kami meneruskan perbincangan dengan Arab Saudi,” katanya.~ Metro

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI