Bantuan Paul Phua kepada kerajaan berstatus rahsia besar - Zahid

Thursday, January 15, 2015

Bantuan Paul Phua kepada kerajaan berstatus rahsia besar - Zahid

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bantuan rakyat Malaysia, Paul Wei Seng Phua kepada kerajaan seperti disebutkan dalam surat kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tidak dapat didedahkan kerana berstatus rahsia besar.

"Berikutan pertikaian kandungan surat saya mengenai Paul Phua membantu kerajaan dalam urusan keselamatan, ia tidak dapat didedahkan kerana membabitkan isu keselamatan yang berstatus besar dan tidak boleh sewenang-wenangnya diwar-warkan kepada umum atas faktor kepentingan dan keselamatan negara.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan negara, maka saya telah menjelaskan status Paul Phua dan kongsi gelap 14K Triad seperti mana yang telah dinyatakan oleh Ketua Polis Negara iaitu tidak wujud kumpulan kongsi gelap 14K Triad di Malaysia dan Paul Phua bukanlah ahli kepada Kumpulan 14K Triad di Malaysia," katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Twitternya, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjelaskan isu berhubung surat surat yang dihantar Zahid kepada Timbalan Pengarah, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat berhubung Paul Phua yang kini sedang dibicarakan atas pembabitannya dalam kegiatan judi haram di mahkamah Amerika Syarikat .

"Isu surat saya kepada Timbalan Pengarah FBI bertarikh 18 Disember 2014 adalah untuk menjelaskan status seorang rakyat Malaysia bernama Paul Wei Seng Phua atau Paul Phua yang dituduh terbabit dengan aktiviti perjudian haram di AS dan kini sedang dibicarakan di mahkamah negara tersebut," katanya.

Ahmad Zahid berkata, maklumat surat berkenaan juga dilindungi mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Maka dengan menggunakan budi bicara, saya mengeluarkan surat penjelasan status Paul Phua kepada pihak FBI dan bukanlah surat sokongan untuk tidak mendakwa Paul Phua seperti yang dilaporkan oleh portal pro-pembangkang," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dan akan tetap membanteras gejala tidak sihat terutama gengsterisme, judi dan dadah di negara ini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI