Pembedahan ke atas pesakit usia lebih 100 tahun berjaya, HTAA catat sejarah

Sunday, January 25, 2015

Pembedahan ke atas pesakit usia lebih 100 tahun berjaya

Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini mencipta sejarah perubatan apabila berjaya melakukan pembedahan ke atas pesakit berumur lebih 100 tahun, mungkin yang pertama di Pahang atau di negara ini.

Pakar bedah ortopedik Dr V.A. Yakub Abraham melakukan pembedahan itu pada 14 Nov tahun lepas dengan memasukkan plat pada paha kanan pesakit wanita berusia 104 tahun, Hee Lian, yang patah tulang pahanya.

Pesakit itu patah tulang paha kanan selepas terjatuh dekat rumah anak lelakinya di sini dan dimasukkan ke hospital pada 6 Nov.

Hee Lian, yang lahir pada 11 Ogos 1910, dibenarkan keluar dari hospital pada 21 Nov selepas menjalani pembedahan, yang dianggap sebagai percubaan berani pertama yang pernah dilakukan oleh hospital kerajaan ke atas pesakit paling tua.

Pengarah HTAA Datuk Dr Marlia Mohamed Salleh berkata Hee Lian merupakan pesakit paling tua di hospital itu yang menjalani pembedahan yang berjaya seumpama itu, dan mungkin pesakit tertua di negara ini.

Beliau menyifatkan pembedahan yang dijalankan oleh pasukan pembedahan diketuai oleh Dr Jacob sebagai mencatat rekod hospital dan ia merupakan usaha berpasukan oleh pakar bedah, pakar bius Dr Hafizah Mohamed, jururawat dan mereka yang terlibat dalam rawatan pasca penjagaan dan pemulihan.

Prosedur selama dua jam itu membabitkan saduran perkutaneus invasif secara minimum pada paha kanan Hee Lian, katanya.

Hee Lian pernah mengalami patah pada kaki yang sama 10 tahun lepas yang memerlukan prosedur skru pinggul dilakukan.

Dr Marlia berkata Hee Lian dapat melepasi prosedur itu dengan mudah kerana beliau tidak mempunyai komplikasi perubatan dan tidak menghidap tekanan darah tinggi atau kencing manis.

"Beliau berada dalam keadaan stabil sepanjang prosedur dan selepas pembedahan, pesakit pulih tanpa apa-apa jangkitan pada luka," katanya kepada Bernama di sini.

Dr Marlia berkata anak pesakit itu memberi kebenaran untuk menjalankan pembedahan kerana mereka tidak mahu melihat ibu mereka mengalami kesakitan dan terlantar di atas katil.

Anak lelakinya, Lai Kau Chai, 62, yang bekerja sebagai tukang kayu berkata ibunya terpaksa menggunakan kerusi roda selepas pembedahan pertama 10 tahun lepas.

Bagaimanapun, katanya, ibunya berada dalam keadaan sihat dan tidak menghidap apa-apa penyakit.
Beliau berkata ibunya terjatuh di luar rumah saudara lelakinya pada November lepas dan dibawa ke HTAA untuk rawatan.

"Selepas dibenarkan keluar dari hospital, kami menempatkan ibu di sebuah rumah penjagaan di sini kerana ia mempunyai petugas yang boleh menjaganya dengan baik untuk kembali pulih," kata beliau.

Hee Lian mempunyai tujuh orang anak termasuk dua perempuan yang berumur antara 60 dan 82. Suaminya, yang bekerja di lombong bijih timah di Kampung Sungai Lembing, meninggal dunia pada 1970 ketika berusia 60 tahun.

Lai berkata ibunya seorang suri rumah dan semasa muda, beliau mengusahakan kebun sayur-sayuran dan menternak ayam di kampung halamannya di Kampung Sungai Lembing.

"Saya amat berterima kasih kepada pihak hospital atas pembedahan ini yang berjaya dan kerana menjaga ibu saya dengan baik. Dr Jacob seorang yang baik.

Saya benar-benar menghargai apa yang beliau lakukan," kata Lai.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI