QZ8501: CEO AirAsia Indonesia akui berlaku "kecuaian pentadbiran"

Wednesday, January 14, 2015

QZ8501: CEO AirAsia Indonesia akui berlaku "kecuaian pentadbiran" 

JAKARTA: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko hari ini mengakui bahawa syarikat itu melakukan "kecuaian pentadbiran" apabila memohon perubahan terhadap jadual penerbangan membabitkan laluan Surabaya-Singapura.

Katanya, mereka hanya memaklumkan secara lisan kepada Kementerian Pengangkutan berkaitan perubahan itu, lapor The Jakarta Post.

"Saya mengakui bahawa kecuaian pentadbiran berlaku apabila memohon perubahan terhadap jadual penerbangan memandangkan maklumat lisan tidak sampai ke kementerian berkenaan," kata Sunu dipetik dalam akhbar berkenaan.

Sementara itu, bercakap pada perbicaraan pertama dengan Suruhanjaya Dewan Perwakilan V berkaitan pengangkutan, Sunu mengakui bahawa syarikat penerbangan itu hanya dibenarkan terbang empat kali seminggu - Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.

Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal terhempas di dalam Laut Jawa pada 28 Disember lalu. - Agensi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI