Banjir kuning bak tsunami ancam Kelantan

Sunday, January 18, 2015

Banjir kuning bak tsunami ancam Kelantan

Banjir besar yang melanda Kelantan pada Disember 2014 adalah antara yang terburuk dalam sejarah negara. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, setakat ini kerugian infrastruktur dan aset awam adalah dianggarkan sebanyak RM200 juta. Ini belum termasuk kerugian dialami orang persendirian dan perniagaan.

Luar biasanya banjir kali ini adalah skala kemusnahan yang tidak tergambar sebelum ini sebagai kemusnahan akibat banjir. Jika sebelum ini kawasan mudah banjir Kelantan lebih bertumpu di muara Sungai Kelantan seperti Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas kesan gabungan hujan, air pasang dan mungkin lepasan air dari empangan di selatan Thailand, kali ini banjir amat menyeluruh dari hulu yang jauh dari laut seperti Gua Musang sehinggalah ke muara.

Malah kawasan itulah yang mengalami kemusnahan lebih teruk. Kemusnahan di daerah Gua Musang dan Kuala Krai amat dahsyat umpama dilanda tsunami. Rumah yang hancur atau teralih menunjukkan ada satu tenaga yang amat kuat datang dari arus banjir. Rasanya belum pernah berlaku sebelum ini di negara kita rumah yang teralih atau pecah hancur akibat banjir.

Kebiasaan keadaan banjir sebelum ini adalah air yang bertakung menenggelami sesuatu kawasan untuk beberapa waktu dan kerosakan adalah akibat penenggelaman oleh air banjir. Umpamanya banjir besar di Johor yang berlaku dalam dua kali gelombang pada tahun 2006-2007. Ada yang menamakan banjir berkenaan sebagai banjir 'termenung' kerana airnya yang enggan bergerak dan surut untuk beberapa lama.


Di Kelantan baru-baru ini, bukan sahaja keadaan arus banjir yang sangat deras, malah jumlahnya amat besar sehingga ada bangunan tenggelam antara dua hingga tiga tingkat. Di samping itu, banjir kali ini juga membawa lumpur yang sangat banyak menunjukkan berlakunya hakisan tanah yang sangat tinggi.

Secara umumnya faktor penyebab banjir besar adalah seperti berikut:

a) Jumlah hujan yang banyak

Kedudukan Malaysia di kawasan beriklim tropika secara lazimnya menerima hujan yang tinggi. Purata hujan tahunan bagi Semenanjung ialah sebanyak 2,500mm dan bagi Sabah dan Sarawak sebanyak 3,500 mm. Bagaimanapun ada keadaan yang mana hujan turun terlalu lebat pada sesuatu ketika yang boleh menyebabkan banjir.

b) Air pasang

Air sungai yang tinggi tidak dapat mengalir terus ke laut apabila bertembung dengan air pasang tinggi. Ini akan mengakibatkan banjir berlaku khususnya di kawasan berhampiran laut seperti Kota Bharu dan Kuantan.

c) Lembangan sungai

Saiz lembangan sungai yang besar akan menakung air larian yang banyak apabila hujan lebat. Jika kapasiti sungai tidak mencukupi, banjir akan terjadi.

d) Pembangunan yang pesat tidak terkawal

Pembukaan tanah berleluasa dan penebangan pokok tidak terkawal menyebabkan resapan air ke tanah berkurangan dan air larian terus ke sungai dengan cepat. Mengikut kajian, jika pembangunan bertambah antara 0-40 peratus, akan mengakibatkan kadar alir bertambah 190 peratus dan kelajuan bertambah dua kali ganda. Selain itu, kadar hakisan akan meningkat menyebabkan pertambahan kelodak di dalam sungai. Sungai yang semakin cetek akan mempunyai kapasiti yang lebih rendah, tidak berupaya menampung air yang bertambah dan menyebabkan air melimpahi tebing.

e) Infrastruktur saliran tidak mencukupi

Infrastruktur sedia ada adalah selalunya kecil untuk menampung kawasan yang telah dibangunkan. Apabila ada pertambahan pembangunan, infrastruktur tersebut tidak mencukupi dan kejadian banjir kerap berlaku.

Kajian Awal Banjir di Kelantan

a) Hujan

Kajian awal faktor penyebab banjir di Kelantan sudah tentu punca utamanya adalah jumlah hujan yang sangat tinggi. Rajah 1 menunjukkan jumlah hujan harian dari 18 Disember sehingga 25 Disember di tiga stesen hujan negeri Kelantan. Stesen di Gua Musang menunjukkan jumlah hujan yang paling tinggi sebanyak 1726mm, Stesen dekat Kuala Krai (Kusial) 1045mm sementara di Kota Bharu 405mm.

Jumlah hujan di Gua Musang dalam tempoh itu telah melebihi separuh jumlah hujan setahun negeri Kelantan. Hujan lebat pada 18 Disember menyebabkan kawasan di utara Kelantan seperti Pasir Mas mula ditenggelami air.

Bermula dari 21 hingga 23 Disember hujan telah mencurah dengan banyaknya di selatan Kelantan seperti yang telah direkodkan di stesen Gunung Gagau di Gua Musang. Rekod hujan di kawasan ini adalah sebanyak 302 mm pada 21 Disember, 478 mm pada 22 Disember dan 515 mm pada 23 Disember dan menyebabkan banjir kuning yang besar.

Sementara kawasan lain di utara Kelantan seperti Kota Bharu hujan mula berkurangan.

Jika diperhatikan kawasan Gua Musang dan selatan Kelantan adalah kawasan yang agak curam dengan ketinggian boleh mencapai 2,000 meter. Air yang mencurah turun dari kawasan ini akan mengalir ke utara melalui bandar utama seperti Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu, sebelum akhirnya ke Laut China Selatan. Jumlah air yang sangat besar dari kawasan yang agak tinggi akan menghasilkan momentum dan air yang deras.

b) Banjir kuning

Dalam kajian mengenai Kelantan sebelum ini kebanyakan kawasan pergunungan di negeri itu diliputi hutan dara, manakala getah dan padi ditanam di kawasan tanah rendah. Bahagian timur dan barat yang terdiri daripada banjaran gunung, mempunyai penutup tanah granit yang terdiri daripada campuran pasir dan tanah liat. Penutup tanah adalah berukuran lebih kurang satu meter dalam dan boleh mencapai kedalaman 18 meter di beberapa tempat.

Mengikut kajian guna tanah Kelantan yang boleh dibantu menggunakan imej satelit (sebagai contoh dari Google earth), ada kawasan hutan telah diteroka. Walaupun pembukaan tanah mungkin bertujuan untuk penanaman sawit atau tanaman pertanian yang diperlukan, kesan pembukaan tanah terutama di tanah tinggi akan memberi kesan kepada hakisan tanah apabila hujan.

Bila keamatan hujan amat tinggi, hakisan akan menjadi sangat teruk sehingga boleh menyebabkan mendakan dan mengurangkan keupayaan sungai mengalirkan air. Hakisan tanah telah menyebabkan air bah menjadi kuning dan mendakan yang banyak dikesan di mana-mana selepas banjir.

Ditambah lagi jika ada pokok atau balak yang turut hanyut, maka momentum terhasil memberikan impak kemusnahan yang lebih besar kepada kawasan yang dilalui air banjir itu.

Dr Wardah Tahir
Penulis ialah Prof Madya di Pusat Kajian Kawalan Banjir, Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi MARA

Sumber: Berita Harian

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI