Bank Palsu Di China Mirip Bank Sebenar

Sunday, January 25, 2015

Bank Palsu Di China Mirip Bank Sebenar

Pemerintah China bukan sahaja berhadapan dengan isu duit palsu melibatkan mata wang rasmi yuan, tetapi kini lebih lucu, kewujudan sebuah bank palsu yang lengkap dengan kaunter canggih dan petugas berpakaian seragam.

Media tempatan pada Sabtu melaporkan, bank palsu itu terletak di bandar raya Nanjing, wilayah Jiangsu di timur China dan paling pelik, ia sudah beroperasi setahun lalu tanpa masalah dengan jumlah pelanggan lebih 200 orang.

Siasatan pihak polis mendapati, bank ‘hantu’ itu sebenarnya sebuah koperasi luar bandar yang tiada lesen operasi bank oleh pihak berkuasa China tetapi berjaya mengutip deposit daripada orang ramai sehingga 200 juta yuan (RM116 juta).

Agensi berita rasmi China Xinhua melaporkan, ‘bank’ bersaiz mini itu dikenali sebagai Nanjing Mou Village Economic Cooperation dan ia turut menarik ramai pelanggan sektor perniagaan kecil dari wilayah berjiran, Zhejiang.

Kewujudan bank itu yang menyerupai imej bank wilayah milik pemerintah terbongkar akhirnya selepas seorang usahawan tempatan dikenali Wang dari Hangzhou mahu menuntut semula simpanan terkumpul dirinya sebanyak 12 juta yuan (RM6.9 juta).

Pihak bank itu enggan memulangkan semula semua deposit pelanggan lelaki tersebut malah menafikan pernah menjanjikan kadar pulangan faedah dua peratus seminggu menyebabkan ahli perniagaan itu marah dan membuat laporan polis.

Dalang bank palsu itu dikenali sebagai Liu bersama-sama empat orang pembantunya termasuk seorang wanita; yang cuba melarikan diri ke Macau dengan membawa wang deposit pelanggan, kemudian berjaya diberkas pihak polis.

Majoriti penyimpan wang adalah penduduk tempatan yang sanggup mendepositkan wang mereka kepada akaun bank tersebut kerana terpedaya dengan janji faedah lumayan dengan kadar jauh lebih tinggi berbanding bank-bank rasmi yang lain.

China ada lebih 200 buah bank diiktiraf termasuk puluhan milik institusi perbankan luar negara selepas pemerintah agresif membuka pasaran ekonomi tempatan dengan menganggotai Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) lebih 20 tahun lalu.

People’s Bank of China ialah bank pusat negara itu yang mengawal selia dasar mata wang dan kadar faedah semasa manakala China Banking Regulatory Commissionmemantau sektor perbankan termasuk kelulusan operasi perkhidmatan bank. – Agensi



0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI