Kes kurung kanak-kanak perempuan, polis mohon reman dilanjutkan

Monday, January 19, 2015

Kes kurung kanak-kanak perempuan, polis mohon reman dilanjutkan

Polis akan memohon kepada mahkamah untuk menyambung tempoh reman terhadap seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kanak-kanak perempuan dipercayai dikurung dan didera di Sungai Dua, Butterworth di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata tempoh reman lelaki berusia 34 tahun yang juga bapa kepada mangsa itu tamat esok (Isnin) dan pihaknya akan membawa dia ke Mahkamah Butterworth untuk permohonan lanjutan reman.

"Kami terpaksa memohon untuk menambah tempoh reman lelaki yang bekerja sebagai pam atendan itu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.


"Kertas siasatan kes itu telah dibuka dan polis percaya dapat melengkapkannya sebelum menyerahkan kepada Ketua Unit Pendakwaan untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kanak-kanak berkenaan yang merupakan murid Tahun Satu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah di Sungai Dua yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik pada Khamis lepas.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai bapa mangsa bagi membantu siasatan.

Abdul Rahman berkata kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu masih dirawat di Hospital Seberang Jaya dan beliau akan melawat esok (Isnin) bagi melihat keadaannya.

"Pegawai saya memang memantau tahap kesihatan kanak-kanak itu bagi mengetahui perkembangan mangsa. Kami bekerjsama dengan pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam hal ini (memantau kesihatan)," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan flat tempat mangsa dikurung mendapati rumah yang didiami ibu tiri mangsa bersama lima anaknya berkunci dan dipercayai telah keluar dari situ sejak Jumaat.

Menurut seorang jiran, wanita berusia 30-an itu dipercayai telah pulang ke rumah keluarganya tetapi dia tidak tahu di mana keluarga ibu tiri mangsa itu tinggal.

Rakan sekerja kepada bapa mangsa yang ditemui di sebuah stesen minyak di Sungai Dua berkata lelaki itu dipercayai mempunyai masalah peribadi dan dia juga telah dibuang kerja sejak dua minggu lepas kerana masalah disiplin.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI