Kalimah Allah khas untuk orang Islam

Thursday, January 22, 2015

Kalimah Allah khas untuk orang Islam

Mahkamah Persekutuan di sini semalam membuat keputusan menghalang majalah mingguan Gereja Katolik, The Herald versi bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan sekali gus mengekalkan keputusan kalimah Allah adalah eksklusif untuk umat Islam.

Prosiding semalam merupakan percubaan terakhir pihak gereja menggunakan saluran perundangan menerusi Mahkamah Persekutuan mendengar semula permohonannya bagi kebenaran untuk merayu ke atas keputusan tersebut.

Panel lima hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, sebulat suara menolak permohonan gereja bagi semakan selepas memutuskan bahawa pihak gereja gagal memenuhi ke­perluan minimum bagi semakan yang termaktub dalam Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Beliau berkata, tidak berlaku ketidakadilan daripada segi prosedur dalam keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini menolak permohonan gereja bagi kebenaran untuk merayu.

“Undang-undang kes yang diselesaikan menyatakan, bahawa pemohon tiada hak untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan kecuali dalam situasi yang jarang-jarang berlaku iaitu kecenderungan untuk bersikap berat sebelah, kegagalan kuorum, penipuan atau berlaku ketidakadilan dalam prosedur,” kata Abdull Hamid.

Beliau berkata, rasional di sebalik pendekatan sangat tegas yang dipraktikkan le­bih satu kurun lalu di England ialah keputusan harus bersifat muktamad dan tetap, jika tidak, tidak akan ada akhirnya.

Hakim-hakim lain dalam panel itu ialah Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed.

Berikutan keputusan itu, usaha pihak gereja menggunakan saluran perundangan bagi menarik balik larangan menggunakan kalimah Allah dalam The Herald berakhir semalam.

Gereja Katolik memohon untuk semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun tahun lepas yang menolak permohonannya bagi kebenaran untuk merayu keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan The Herald edisi bahasa Melayu.
~ Kosmo

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI