KWSP mudahkan pengeluaran pinjaman perumahan dengan e-Pengeluaran

Tuesday, January 06, 2015

KWSP mudahkan pengeluaran pinjaman perumahan dengan e-Pengeluaran

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan ahli-ahli yang mempunyai pinjaman perumahan dengan RHB Bank dan Maybank boleh memilih menghantar permohonan pengeluaran mereka secara dalam talian melalui kemudahan e-Pengeluaran untuk pembayaran balik pinjaman perumahan.

Kemudahan itu yang disediakan melalui i-Akaun, memudahkan permohonan pengeluaran secara dalam talian bagi pembayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan dan mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman perumahan.

"Ahli perlu mendaftar sebagai pengguna i-Akaun untuk menggunakan kemudahan ini," kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish, berkata pada awalnya mereka memperkenalkan e-Pengeluaran dengan RHB Bank, dan setakat ini sudah menerima lebih daripada 10,000 permohonan pengeluaran daripada ahli yang mempunyai pinjaman perumahan bersama bank itu.

"Kemudahan e-Pengeluaran membolehkan ahli menghantar permohonan pengeluaran secara dalam talian dengan cepat, tepat dan mudah. Ahli hanya perlu datang ke cawangan KWSP untuk pengesahan ibu jari.

"Kami kini sedang bekerjasama dengan Maybank dan kami akan meluaskan perkhidmatan ini kepada ahli yang mempunyai pinjaman perumahan dengan bank-bank lain tidak lama lagi," katanya.

Kemudahan e-Pengeluaran boleh digunakan oleh ahli yang sudah membuat pengeluaran yang sama sebelum ini. Ahli-ahli mestilah pembeli dan pemilik rumah termasuk sebagai peminjam perumahan sama ada daripada RHB Bank atau Maybank.

Mohd Naim berkata KWSP juga merancang untuk memperluaskan kemudahan e-Pengeluaran ini dalam skim pengeluaran lain seperti membeli rumah, pendidikan dan kesihatan. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI