Berbelanja berhemat untuk rayakan Tahun Baru Cina

Monday, January 26, 2015

Belanjalah secara berhemat untuk rayakan Tahun Baru Cina

Tanglung tradisional dan hiasan kaligrafi merah semakin banyak menghiasi pusat beli-belah, premis perniagaan dan laluan pejalan kaki di sekitar ibu kota bagi menandakan sambutan Tahun Baharu Cina semakin hampir.

Ketika inilah pelbagai harga menarik ditawarkan oleh pusat beli belah, butik pakaian tradisional dan kedai perhiasan bagi menarik masyarakat Cina membuat persiapan menyambut Tahun Kambing pada 19 Februari ini.

Dalam kemeriahan tawaran jualan murah dan pelbagai potongan hebat itu, pengguna dinasihatkan supaya berhemat ketika berbelanja bagi mengelak daripada menanggung beban kewangan kemudian hari.

Pensyarah Ekonomi Keluarga dan Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Sarifah Azizah Haron, berkata seseorang itu harus berbelanja mengikut keperluan dengan hanya mendahulukan perkara yang menjadi keutamaan sahaja.

"Apabila tiba jualan murah, lebih-lebih lagi ketika hampir dengan musim perayaan seperti sekarang, tidak ramai yang mempraktikkan amalan berhemat sebaliknya berbelanja mengikut nafsu dan melebihi kemampuan.

"Hal ini kerana mereka mempunyai konsep 'beli dulu fikir kemudian' iaitu beli dalam kuantiti yang banyak kerana harganya murah sehinggakan mengalami kekurangan wang perbelanjaan selepas tamatnya musim perayaan," katanya.

Beliau berkata, bagi mana-mana perayaan yang disambut sekalipun, sebenarnya pengguna tidak memerlukan semua barang yang ditawarkan oleh penjual.

"Sebelum berbelanja, pastikan senarai barangan yang hendak dibeli disediakan terlebih dahulu mengikut keutamaan dan kuantiti yang bersesuaian," katanya.

Beliau mencadangkan beberapa bulan sebelum melakukan perbelanjaan sempena musim perayaan, amalan menabung seharusnya dipraktikkan.

"Apabila amalan menabung dilakukan, perancangan perbelanjaan menjadi lebih mudah dan ia juga mendisiplinkan pengguna untuk berbelanja mengikut had," katanya.

Ketika berbelanja, pengguna digalakkan menggunakan wang tunai dan elakkan daripada menggunakan kad kredit dengan terlalu kerap.

"Apabila kita membayar dalam bentuk tunai, kita akan mengawal had perbelanjaan dan jika kad kredit pula kesannya akan lebih membebankan dengan kadar faedah yang tinggi pada hujung bulan," katanya.

Penulis kaligrafi, Tony Yong, 52, berkata beliau sekeluarga akan menyediakan senarai barangan sebelum melakukan perbelanjaan untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

"Kos sara hidup yang semakin tinggi saban tahun menyebabkan kami terpaksa berhati-hati dalam merancang perbelanjaan kerana bukan semua barangan perlu digantikan baharu.

"Memang jika diikutkan tradisi, kami perlu menukarkan semua barangan dalam bentuk baharu tetapi jika tidak rosak kami tetap tidak menukarkannya," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar Jalan Petaling di sini mendapati masyarakat Cina sudah mula membeli-belah bagi membuat persiapan untuk menyambut Tahun Baharu Cina sejak awal bulan ini.

Pengurus kedai Nan Thong Gift & Decors Sdn Bhd di Jalan Petaling, Saw Chong Giap, 46, berkata barangan perhiasan Tahun Baharu Cina yang dijualnya sejak akhir Disember lalu mendapat sambutan yang menggalakkan meskipun mengalami sedikit kenaikan harga pada tahun ini.

"Kebiasaannya masyarakat Cina mahukan persiapan lebih awal untuk menyambut Tahun Baharu Cina, jadi mereka tidak kisah akan harga yang murah atau mahal kerana berpendapatan perbelanjaan itu dilakukan sekali dalam setahun.

"Namun, ada juga dalam kalangan pelanggan mahukan harga barangan perhiasan yang berpatutan dan kebiasaannya saya akan mengesyorkan kepada mereka mengikut keperluan dan kemampuan mereka," katanya.

-- BERNAMA

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI