Nabi Yahya dibunuh penguasa

Thursday, September 17, 2009

Nabi Yahya

"WAHAI Yahya, ambillah kitab itu dengan sungguh-sungguh! Kami berikan kepadanya hikmat kebijaksanaan ketika ia masih kanak-kanak. Kami mengurniakannya rahmat daripada sisi Kami serta kelebihan yang kembang manfaatnya dan ia adalah seorang yang bertakwa." (Al-Quran, surah Maryam:12-13)

Nabi Yahya a.s dinyatakan beberapa kali dalam kitab suci al-Quran seperti pada surah Ali Imran, al-An'am, Maryam dan al-Anbiya'.

Nama penuh baginda ialah Yahya bin Zakaria bin Daan bin Muslim bin Shaduk bin Hasybaan. Nasabnya sampai kepada Nabi Sulaiman bin Daud daripada keturunan anak cucu Yahuda bin Yaakub.

Kelahirannya sebelum Nabi Isa, selang tiga bulan dan hidup dalam satu generasi. Baginda dilahirkan berkat doa bapanya, Nabi Zakaria kepada Allah yang sangat teringin menimang anak untuk dijadikan pewaris zuriat mulia.





Usia Nabi Zakaria ketika itu 100 tahun. Baginda berdoa dengan suara perlahan sebagaimana diterangkan dalam al-Quran. "Ia berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya lemahlah tulangku dan berubanlah kepalaku; dan aku ya Tuhanku, tidak pernah hampa berdoa kepada-Mu.

"Sesungguhnya aku bimbangkan kaum kerabatku sepeninggalanku dan isteriku seorang yang mandul, kurniakanlah daku daripada sisimu seorang anak yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub dan jadikanlah dia wahai Tuhanku seorang yang diredai serta disukai." (Surah Maryam: 4-6)

Lalu dijawab: "Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberi khabar gembira buatmu dengan seorang anak lelaki bernama Yahya yang Kami tidak pernah namakan sebelumnya. (Surah Maryam :7)

"Zakaria berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku mandul dan aku sendiri sudah sampai umur yang amat tua?" (Surah Maryam:8)

"Penyeru itu berkata: Demikianlah! firman Tuhanmu: Hal itu mudah bagi-Ku, sesungguhnya Aku menciptakanmu dahulu sedangkan kamu belum ada." (Surah Maryam : 9)

Kisah Nabi Yahya tidak banyak diceritakan al-Quran, tetapi baginda digambarkan seorang yang bijak, berhati mulia, berperibadi baik, jauh daripada kemewahan hidup dan bertakwa malah sering melakukan ibadat sejak usia kanak-kanak.

Baginda juga rajin beribadat dan menangis kerana takut kepada Allah. Diriwayatkan Mujahid, katanya: "Yahya ibn Zakaria adalah pemakan sayur-sayuran, dia selalu menangis kerana takutkan Allah sehingga seandainya ada kesegaran atas matanya tentu dia menggosoknya."

Diceritakan juga oleh Ibnu Asakir; "Bahawa ayahnya keluar pada suatu hari mencari, dia menjumpai Yahya di sisi sungai Jordan ketika kedua-duanya berkumpul mereka menangis dengan tangisan yang kuat kerana beribadat kepada Allah dan takut kepada-Nya."

Allah memberikan hikmah iaitu kebijaksanaan kepada Nabi Yahya sejak usia muda, malah mengetahui syariat, dasar dan hukum sehingga baginda menjadi seorang yang berilmu, melebihi daripada ilmu yang ada.

Kenabian dan kerasulan diberikan kepadanya sebelum usia 30 tahun. "Wahai Yahya, ambillah Kitab itu dengan sungguh-sungguh! Kami berikan kepadanya hikmah kebijaksanaan ketika dia masih kanak-kanak." (Surah Maryam:12)

Baginda menjadi tempat bagi kaumnya (Bani Israel) bertanya dan meminta penjelasan mengenai selok-belok agama dan pelbagai perkara lain berkaitan kehidupan bermasyarakat.

Diajak mereka kepada jalan Allah dan diberikan khabar gembira kepada kaumnya. Nasihat diberikan secara lemah- lembut dan berhemah.

Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w mengenai lima kalimat (perkara) yang diperintahkan Allah kepada Nabi Yahya seterusnya disampaikan kepada kaumnya, Bani Israel supaya beramal dengannya.

Lima perkara itu ialah menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya, mendirikan solat, berpuasa, bersedekah dan berzikir kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya.

Pada waktu itu ada seorang penguasa bernama Hirudes yang menguasai Palestin dan mencintai anak saudaranya, Hirudea. Ada mendakwa gadis cantik itu anak tirinya, namun yang pasti Hirudes tidak dapat menahan nafsu terhadapnya.

Seluruh keluarga merestui perhubungan itu, lalu majlis perkahwinan mereka dirancang. Nabi Yahya membantah kerana waktu itu hukum Allah melarang melakukan perkahwinan demikian.

Nabi Yahya mengeluarkan hukum terhadap perkahwinan itu iaitu tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan syariat Allah.

Perkara itu menjadi buah mulut masyarakat dan menimbulkan perasaan tidak puas hati Hirudea kerana khuatir larangan daripada Nabi Yahya membantutkan hasratnya.

Hirudea bimbang calon suaminya terpengaruh dengan kata-kata Nabi Yahya dan perkahwinan yang dirancang tidak menjadi. Justeru, dia merancang mempengaruhi bakal suaminya supaya membunuh Yahya.

Dia menggunakan kecantikannya untuk mempengaruhi Hirudes membunuh Nabi Yahya, iaitu dengan mengenakan pakaian seksi dan bertemu Hirudes lalu menyampaikan hasrat itu.

Hirudes terpengaruh dan akhirnya Nabi Yahya dibunuh untuk memuaskan hati Hirudea. Dia membunuh Nabi Yahya dalam keadaan sedang bersolat.

Baginda disembelih bagaikan menyembelih kambing, dengan kepalanya diletakkan di atas piring dan Hirudea dalam keadaan menari.

Nabi Zakaria pula, apabila mendengar anaknya dibunuh, baginda segera mencari perlindungan menyelamatkan diri. Kebetulan ada pokok di depannya dan dengan izin Allah pokok itu terbelah dua, lalu baginda masuk ke dalamnya dan ia tertutup semula.

Bagaimanapun tentera penguasa terbabit mengetahui Nabi Zakaria di dalam batang pokok itu. Mereka terus memotong pokok berkenaan, sehingga Nabi Zakaria yang berada di dalamnya terbunuh. Demikian, wafatnya dua beranak di tangan raja yang zalim.

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI