10 ibu hebat

Saturday, September 26, 2009

10 ibu hebat
Kim Clijsters bukannya ibu pertama yang berjaya meraih kemenangan selepas melahirkan anak dan bergelar ibu serta 'bersara' sementara daripada dunia tenis.

Pemain Belgium berusia 26 tahun itu menundukkan satu demi satu pemain hebat termasuk keluarga Williams, Venus dan Serena dalam laluannya bergelar juara perseorangan wanita Terbuka Amerika Syarikat di Flushing Meadows, New York Ahad lalu sesudah mengalahkan pemain muda Denmark, Caroline Wozniacki pada perlawanan akhir.

Berikut disenaraikan beberapa personaliti sukan yang bukan setakat mampu membuat kemunculan semula selepas bergelar ibu namun berupaya untuk kembali muncul juara kejohanan disertai.

Kim Clijsters
Jada, anak Kim yang berusia 18 bulan menyaksikan dari galeri umum ibunya menewaskan Caroline Wozniacki pada perlawanan akhir Terbuka AS dan muncul ibu pertama dalam tempoh 29 tahun memenangi satu kejuaraan Grand Slam. Contoh terdekat adalah rakan karibnya, Lindsay Davenport, yang membuktikan kemunculan kembali dengan jayanya selepas bergelar ibu bukannya sesuatu yang mustahil.

Lindsay Davenport
Pemain Amerika itu kembali ke gelanggang tidak sampai sebulan selepas menjadi ibu. Memenangi tiga daripada empat kejuaraan selepas bersalin, Lindsay kembali melonjak ke kelompok 25 pemain terbaik dunia pada 2007. Bagaimanapun dia tidak berjaya memenangi kejohanan Grand Slam terulung: Wimbledon.

Evonne Goolagong Cawley
Wanita terakhir yang berjaya melakukannya adalah Evonne Goolagong Cawley pada 1980. Pemain Australia itu memenangi kejuaraan perseorangan wanita tiga tahun selepas melahirkan anak sulung, muncul ibu pertama menjadi juara dalam tempoh 66 tahun di Kelab All England. Secara keseluruhan, Evonne memenangi 14 kejuaraan Grand Slam dan satu acara beregu campuran. Kejayaan itu lebih bermakna berbanding situasi semasa dalam dunia tenis wanita.


Sybille Bammer
Malah, pemain Austria, Sybille Bammer adalah satu-satunya ibu dalam kelompok 100 pemain terbaik dunia. Sudah mengumpul AS$255,910 (RM897,737) tahun ini, dia percaya keibuan membantu kariernya: "Sebelum saya melahirkan anak perempuan, ranking terbaik saya adalah 200." Bammer menang kejohanan pertamanya hanya enam bulan selepas bersalin dan meraih ranking terbaik karier pada kedudukan ke-19 dunia pada 2007. Sokongan anak perempuannya yang berusia lapan tahun, Tina, mungkin menjadi faktor utama - sebelum ke sekolah, Tina sering berada di sampingnya di gelanggang tenis.

Paula Radcliffe
Ibu berjaya bukan setakat di gelanggang tenis. Paula Radcliffe meraikan kemenangan dalam acara larian jarak jauh dua tahun selepas melahirkan anak perempuannya, Isla. Masih memegang beberapa rekod dunia, atlit berusia 35 tahun itu berpendapat mempunyai anak menambahkan kekuatan mentalnya: "Anda hanya berasa semuanya lebih perspektif."

Dara Torres
Perenang berusia 42 tahun, Dara Grace Torres satu lagi contoh cemerlang kombinasi keibuan dan sukan profesional. Hanya selepas 15 bulan melahirkan anak sulungnya, Dara memenangi pingat emas pada Kejohanan AS di Indianapolis pada 2007. Empat hari kemudian, dia malah memecahkan rekod AS dalam acara 50 meter gaya bebas sebanyak dua kali.

Suzanne Harmes
Lahir pada 10 Januari 1986, gimnas Belanda, Suzanne Harmes menarik diri daripada Kejohanan Dunia 2006 kerana mengandung. Namun, bekas pemenang pingat emas itu kembali ke karier sebenarnya: dia adalah satu-satunya gimnas wanita Belanda layak beraksi pada temasya Sukan Olimpik Beijing 2008. Selepas kembali mengandung tiga bulan sesudah kelahiran anak lelakinya, Lugano, Suzanne terus memainkan peranan penting dalam gimnastik Belanda.

Sonia O'Sullivan
Selepas Michelle Smith, atlit Sonia O'Sullivan adalah wanita Ireland kedua memenangi pingat emas Olimpik. Malah, kelahiran anak perempuannya, Ciara, pada 1999 tidak menjejaskannya daripada terus berlari. Dia kembali berlatih hanya 10 hari selepas bersalin. Persembahan hebatnya pada temasya Sukan Olimpik Sydney terbukti satu daripada kemuncak kariernya, memenangi pingat perak acara 5,000 meter selain menduduki tangga keenam pada perlumbaan akhir 10,000m.

Liz McColgan
Tidak dinafikan, kemunculan kembali paling menyerlah selepas bergelar ibu adalah Liz McColgan pada Kejohanan Dunia 1991 di Tokyo. Selepas melahirkan anak pertamanya setahun sebelumnya, dia berjaya memenangi pingat emas acara 10,000m. Lantas, atlit Scotland itu dipilih sebagai Personaliti Sukan Terbaik BBC pada 1991 dan terus menikmati beberapa kejayaan, termasuk memenangi maraton London pada 1996.

Catriona Matthew
Anak perempuannya, Sophie hanya berusia 11 minggu apabila ibu berusia 39 tahun, Catriona Matthew memenangi kejohanan golf Terbuka Wanita British di Lytham St Annes tahun ini.

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI